Ahmad Jazlan Yaakub

KUALA LUMPUR – UMNO Kelantan mengambil sikap tunggu dan lihat berhubung krisis bekalan air yang dihadapi kerajaan Pas negeri itu sejak sekian lama.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, beliau menyerahkan kepada rakyat untuk menentukannya walaupun menyedari kerajaan negeri sering berdolak dalik termasuk menyalahkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai punca.

“Biarkan dia (Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah) berkelahi dengan rakyat.

“Kita ambil sikap berdiam diri dulu,” katanya ringkas sebagai mana dilaporkan sebuah portal, semalam.

Masalah bekalan air di Kelantan menjadi mimpi ngeri bagi rakyat negeri itu sejak berpuluh tahun dahulu.

Terbaharu, kerajaan negeri itu menganggarkan peruntukan sebanyak RM7 bilion diperlukan untuk menyelesaikan masalah bekalan air bersih di Kelantan.

Menurut Mohd Amar, peruntukan itu bagi menukar sistem paip lama melibatkan jarak 5,000 kilometer serta pembinaan loji baharu.

Malah, beliau turut menyatakan bahawa krisis air itu tercetus disebabkan kesilapan parti UMNO. – MalaysiaGazette