HANOI – Selepas berjaya mengharungi kempen yang gemilang di Sukan SEA ke-31 di sini, penerjun negara Nur Dhabitah Sabri percaya Tuhan telah menyusun perjalanannya dengan baik pada kali ini.
Atlet terjun berusia 22 tahun dari Kuala Lumpur itu, sebelum ini menerima penghargaan sebagai pemenang pingat emas pertama bagi Sukan SEA kali ini, apabila muncul juara acara 1 meter (m) papan anjal wanita pada Ahad lepas.
Pada hari ini, beliau menerusi gandingan dengan Datuk Pandelela Rinong, melengkapkan kejayaan kem Malaysia menyapu bersih kesemua lapan emas yang dipertandingkan di kolam terjun pada hari terakhir pertandingan terjun.
Pandelela-Nur Dhabitah meraih pingat emas pertama gandingan mereka di Sukan SEA selepas menjuarai acara 10m platform seirama wanita dengan 292.14 mata di Aquatics Sports Palace di sini.
Ia juga merupakan pingat emas kesembilan Pandelela di Sukan SEA sejak debut di edisi 2007 Korat, dan emas keenam bagi Nur Dhabitah.
Namun, misi Nur Dhabitah di Hanoi belum tamat, apabila beliau terlebih dahulu telah dinamakan sebagai pembawa Jalur Gemilang pada acara perasmian Sukan SEA, malam esok.
“Saya rasa Tuhan telah susun perjalanan saya dengan sangat cantik…Dipilih sebagai pembawa bendera, kemudian saya merangkul emas pertama untuk Malaysia dan saya menamatkan acara terjun Sukan SEA dengan merangkul emas.
“Saya rasa kita berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan menerusi kerja keras semua atlet terjun, walaupun banyak juga cabaran yang perlu ditempuhi,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tempat kedua acara 10m platform seirama wanita itu menjadi milik adik-beradik kembar dari Singapura Ong Sze En-Ong Rei En (225.42), manakala wakil tuan rumah Bui Thị Hong Giang-Mai Hong Hanh (185.25) pulang dengan tangan kosong kerana hanya tiga wakil menyertai acara itu.
Sementara itu, Pandelela mengakui pelbagai cabaran perlu diharungi, termasuk pada sesi latihan mereka sebelum meraih kejayaan manis pada hari ini.
“Antaranya adalah menguruskan kecederaan sendiri, kerana bukan kita muda lagi, jadi banyak rawatan diperlukan. Tetapi kami dapat menampilkan terjunan yang baik, kami berpuas hati dengan keputusan ini,” katanya.
Gandingan itu dijangka mengambil rehat pendek sebelum kembali menjalani latihan untuk menghadapi Kejohanan Dunia di Budapest bermula 26 Jun hingga 3 Julai, diikuti Sukan Komanwel Birmingham 2022 bermula 28 Julai hingga 8 Ogos ini.- BERNAMA