Gambar hiasan

 

KUALA LUMPUR – Tiga daripada 10 responden di Malaysia merancang untuk menukar majikan sebelum Jun tahun ini, menandakan peningkatan tujuh mata berbanding 2021.

Mereka yang tidak takut kehilangan pekerjaan, satu daripada lima (20 peratus) merancang untuk menukar pekerjaan, peningkatan lima peratus daripada tahun sebelumnya (15 peratus).

Dapatan itu hasil penyelidikan Jenama Majikan tahunannya di Malaysia yang dijalankan oleh Randstad – agensi penyelesaian sumber manusia terkemuka di dunia.

Penyelidikan ini meneroka faktor cadangan nilai pekerja (EVP) yang mempengaruhi pekerja dan pencari kerja untuk mencari majikan baharu yang ideal.

Ketua Operasi di Randstad Malaysia, Fahad Naeem berkata, apabila pasaran buruh pulih daripada wabak dan syarikat mengupah lebih ramai pekerja untuk menguruskan permintaan perniagaan yang semakin meningkat, ramai pekerja teruja dan bermotivasi untuk mencari peluang kerja baharu dan lebih baik.

”Ramai pekerja telah berpeluang untuk mengasah kemahiran mereka sejak dua tahun lepas di tengah-tengah iklim perniagaan yang tidak menentu dan mereka sudah bersedia untuk mencari pekerjaan yang lebih mencabar dengan majikan yang bukan sahaja mengambil berat tentang pembangunan profesional mereka tetapi juga kesejahteraan mereka,” katanya.

Antara tempoh enam bulan dari Julai hingga Disember 2021, sebanyak14 peratus responden telah bertukar majikan.

Tiga pemacu utama yang mendorong mereka untuk bertukar majikan ialah gaji dan faedah yang menarik (66 peratus), keseimbangan kehidupan kerja (62 peratus) dan pengurusan yang kukuh (62 peratus).

Naeem berkata, gaji ramai pekerja Malaysia mungkin kekal sama sejak dua tahun lalu kerana syarikat cuba mengurangkan perbelanjaan operasi untuk mengatasi kerugian perniagaan yang disebabkan oleh wabak Covid-19.

Walau bagaimanapun, jika majikan tidak memberi ganjaran yang adil kepada sumbangan pekerja, kakitangan berpendapat tidak ada sebab untuk kekal dengan majikan lama memandangkan ekonomi telah pulih dengan kukuh, terutama apabila terdapat begitu banyak peluang pekerjaan baharu dalam pasaran.

Dalam pada itu, lebih dua daripada lima responden (43 peratus) takut kehilangan pekerjaan dan berhasrat menukar pekerjaan mereka menjelang Jun 2022, menandakan peningkatan 17 mata daripada 2021 (26 peratus).

“Kira-kira 37,000 usahawan serta perniagaan kecil dan sederhana menutup perniagaan mereka akibat penutupan di seluruh negara, yang mungkin menyebabkan tenaga kerja sangat tertekan.

”Walaupun dengan pemulihan ekonomi, ramai pekerja bimbang kesihatan kewangan majikan mereka masih belum pulih.

“Namun, pemimpin perniagaan yang ingin mengekalkan kakitangan mereka harus sentiasa menyampaikan prestasi kewangan dan strategi pembangunan bakat mereka kepada pekerja, supaya mereka dapat menyemai rasa yakin dan mewujudkan rasa kebersamaan dalam diri mereka,” tambah Naeem. – MalaysiaGazette