Gambar hiasan

NEW YORK – Harga minyak melonjak hampir 5% pada hari Rabu selepas menjunam hampir 10% dalam dua sesi sebelumnya, dirangsang oleh kebimbangan bekalan apabila aliran gas Rusia ke Eropah susut dan Kesatuan Eropah (EU) berusaha mendapatkan sokongan untuk menyekat minyak Rusia.

Aliran gas Rusia ke Eropah melalui Ukraine susut satu perempat selepas Kyiv menghentikan penggunaan laluan transit utama dari negaranya susulan serangan Moscow.

Ia adalah kali pertama eksport melalui Ukraine terganggu sejak pencerobohan itu.

Minyak mentah Brent naik AS$5.13, peningkatan 5%, kepada AS$107.59 setong menjelang 12.35 tengah hari EDT (1635 GMT).

Sementara, minyak mentah West Texas Intermediate Amerika Syarikat (AS) menokok sebanyak AS$5.68 kepada AS$105.44.

“Saya mengesyaki gangguan gas di Ukraine mempunyai kesan yang semakin meningkat,” kata Jeffrey Halley, penganalisis di broker OANDA.

EU telah mencadangkan sekatan ke atas minyak Rusia, yang menurut penganalisis akan mengetatkan lagi pasaran dan mengalihkan aliran perdagangan.

Satu undian, yang memerlukan sokongan sebulat suara, telah ditangguhkan kerana Hungary telah berusaha keras untuk menentang cadangan EU.

“Harga akan terus meningkat terutamanya jika EU mencapai persetujuan untuk menghentikan pembelian minyak Rusia secara berperingkat sepanjang baki tahun ini,” kata Andrew Lipow, presiden Lipow Oil Associates di Houston.

Stok minyak mentah AS meningkat lebih daripada 8 juta tong dalam minggu terbaharu, disebabkan satu lagi pelepasan besar daripada rizab strategik, kata Pentadbiran Maklumat Tenaga.

Inventori minyak mentah komersial telah meningkat selepas White House memilih untuk membanjiri pasaran dengan minyak bagi mengimbangi kenaikan harga. – Reuters