KUALA LUMPUR – Debat antara Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka berintikan fakta bagi dikemukakan untuk kefahaman rakyat atas maklumat yang berbeza, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden UMNO itu berharap debat yang diadakan sepatutnya dijadikan peluang untuk mencari titik pertemuan bukan untuk menyelesaikan sesuatu masalah.
“Pendapat yang berbeza ini harus diraikan namun apa yang penting matlamatnya mesti berfokuskan kepada isu yang ditetapkan”
“Debat ini tidak sepatutnya beralih kepada perkara-perkara lain terutamanya topik yang menyentuh soal-soal peribadi” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette malam ini.
Dalam pada itu Ahmad Zahid mengharapkan pencerahan-pencerahan yang diberikan itu tidak berbentuk retorik.
Jelasnya, walaupun pandangan antara pihak kerajaan dan pembangkang berbeza, fokus utama debat bukan untuk mencari isu atau menegakkan benang yang basah tetapi untuk menjawab persoalan rakyat yang telah lama ditunggu-tunggu.
“Debat ini bukan debat biasa, kerana ianya menegakkan isu nasional..”
“Maka soal emosi dan soal yang melibatkan perkara-perkara yang ranting harus diketepikan, kerana yang penting hanya isu pokok” katanya yang dijumpai di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC).
Beliau turut berterima kasih kepada pihak penganjur atas keberanian dan mencari tempat yang neutral untuk mengadakan debat yang beliau anggap wadah intelektual. – MalaysiaGazette