Abdul Wahab Musa, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menerima suapan di Mahkamah Sesyen 2, Kuantan hari ini.

KUANTAN – Seorang koperal polis merayu sebanyak tiga kali agar  wang jaminan dikurangkan setelah mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menerima suapan.

Rayuan itu dibuat di hadapan hakim di Mahkamah Sesyen 2, Kuantan hari ini.

Tertuduh, Abdul Wahab Musa, 57, memohon jaminan RM10,000 yang dikenakan mahkamah ke atasnya dikurangkan dan memohon dibicarakan atas tiga dakwaan menerima suapan antara Mei, Jun dan September 2021.

Bapa anak enam kemudian itu memberitahu tidak mampu dengan wang jaminan yang ditawarkan kerana mempunyai tujuh tanggungan, yang mana tiga anak masih bersekolah dan dua belum bekerja, selain menanggung isteri.

Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain kemudian menetapkan jaminan dikurangkan kepada RM7,000 ke atas ketiga-tiga pertuduhan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Tertuduh yang berbaju hitam kemudian memohon dua kali kepada mahkamah  agar jumlah jaminan dikurangkan lagi.

Namun, tertuduh yang tidak diwakili peguam mengangguk faham setelah kesemua rayuan jaminan yang ditetapkan kekal RM7,000 dan tiada lagi jumlah pengurangan diberikan setelah hakim mengambil kira pelbagai faktor.

Bagi pertuduhan pertama, Abdul Wahab yang bertugas di Bahagian Operasi dan Pencegahan Jenayah Balai Polis Kuala Bera, Bera didakwa menerima wang tunai RM1,000 daripada bapa pesalah trafik pada 19 Mei 2021 di balai berkenaan.

Dalam pertuduhan kedua, Abdul Wahab didakwa menerima wang tunai RM500 daripada individu sama pada 2 Jun lalu diikuti pertuduhan ketiga menerima RM500 pada 5 September lalu di sebuah rumah rakit di Kampung Bukit Serdang di Kuala Bera.

Abdul Wahab menerima suapan wang tunai berkenaan sebagai dorongan untuk tidak menahan anak lelaki individu itu yang memiliki kenderaan Mitsubishi Lancer klon yang merupakan satu kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan didenda lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi.

Selain itu hakim menetapkan syarat tambahan kepada Abdul Wahab supaya melaporkan diri ke Pejabat SPRM berhampiran bermula bulai Mei sehingga kes selesai bicara.

Pendakwaan dibuat oleh  Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Siti Sarah Zainal Abiddin.

Kes disebut semula pada 14 Jun ini. – MalaysiaGazette