Seorang bapa kepada 14 orang anak, Mhd Kaim Tukimon, 70 mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan menggunakan dokumen palsu dan tandatangan orang yang sudah meninggal dunia bagi urusan pertukaran nama geran tanah, lapan tahun lepas ketika dibawa pegawai SPRM di Mahkamah Sesyen Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 12 MEI 2022.

SHAH ALAM – Seorang bapa kepada 14 orang anak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap empat pertuduhan menggunakan dokumen palsu dan tandatangan orang yang sudah meninggal dunia bagi urusan pertukaran nama geran tanah, lapan tahun lepas.

Tertuduh, Mhd Kaim Tukimon, 70, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Rozilah Salleh, hari ini.

Mengikut pertuduhan, pada 2 Disember 2015, tertuduh di Unit Pendaftaran Tanah, Pejabat Tanah Daerah dan Tanah Kuala Selangor telah bersubahat dengan Ibrahim Mahidin secara tidak jujur menggunakan dokumen “Power of Attorney”, Surat Akuan Penama serta Maklumat Pindah Milik dan Gadaian, Perjanjian Jual Beli antara seorang wanita dengan dirinya sebagai cagaran berharga dan didapati dokumen itu adalah palsu.

Bagi kesemua empat pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 471 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 467 Kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Noryusriza Zulkifli menawarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM15,000 dengan seorang penjamin.

Noryusriza juga memohon mahkamah mengenakan syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport dan perlu melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat setiap awal bulan.

Kemudian tertuduh yang hadir tanpa diwakili peguam memohon mahkamah untuk mengurangkan jumlah jaminan kerana mempunyai tanggungan yang besar.

Ini kerana dia perlu menanggung 14 anak yang ada di antaranya berusia enam tahun masih bersekolah dan mempunyai dua isteri tidak bekerja.

Bagaimanapun Hakim Rozilah tidak membenarkan jaminan dikurangkan, sebaliknya menyatakan jumlah jaminan yang ditawarkan pihak pendakwaraya munasabah untuk empat pertuduhan terbabit.

Hakim Rozilah juga memerintahkan tertuduh dijamin dengan seorang penjamin dan syarat tambahan menyerahkan pasport dan melaporkan diri di pejabat SPRM Putrajaya setiap awal bulan.

Mahkamah turut menetapkan 23 Jun ini sebagai tarikh sebutan kes. – MalaysiaGazette