GOMBAK – Kebimbangan seorang adik selepas abangnya tidak menjawab panggilannya telefon walaupun telah cuba dihubungi berkali-kali akhirnya mendapat berita menyedihkan.
Ini kerana mendapati abangnya telah menggantung diri di dapur rumah mangsa.
Insiden penuh menyayat hati itu berlaku sebuah rumah Pinggiran Batu Caves di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, kira-kira pukul 2.54 petang tadi, Bilik Gerakan Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Gombak telah menerima panggilan kecemasan daripada seorang lelaki yang memaklumkan telah menemui satu mayat dalam keadaan tergantung di sebuah rumah di Kampung Bahtera, Wira Damai, Pinggiran Batu Caves.
Menurut adik si mati itu, dia telah menghubungi telefon bimbit si mati yang merupakan abang kandungnya berkali-kali namun panggilan tidak berjawab.
“Adik si mati pergi ke rumah mangsa dan dapati rumahnya dalam keadaan berkunci sebelum sekali lagi menghubungi telefon bimbit si mati dan terdengar bunyi deringan telefon bimbitnya di ruang tamu rumah.
“Adik mangsa terus memecahkan pintu rumah dan nampak abangnya dalam keadaan tergantung di bahagian dapur rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa seorang pemandu lori berusia 48 tahun telah tinggal di rumah tersebut sejak sembilan tahun yang lepas bersama isteri dan dua orang anaknya.
Pun begitu, ujar beliau, sejak tiga tahun lepas si mati tinggal bersendirian di rumah kerana mempunyai masalah keluarga yang mana isteri serta dua orang anaknya telah berpindah ke Ipoh, Perak.
“Siasatan di lokasi kejadian adalah sebuah rumah lot setingkat mempunyai tiga bilik dan si mati dipercayai mengikat tali nilon dan seterusnya berdiri dia tas kerusi dan melompat sebelum tergantung.
“Barang peribadi si mati seperti dompet dan telefon bimbit masih berada di ruang tamu rumah. Siasatan lanjut juga mendapati tiada unsur dan perbuatan jenayah berlaku,” ujarnya.
Tegas Zainal Mohamed lagi, mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Selayang untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.- MalaysiaGazette