KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan penyewelengan dana RM2.3 bilion, Goh Gaik Kim menafikan spekulasi dan dakwaan kononnya beliau adalah ibu saudara kepada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
Gaik Kim yang juga bekas setiausaha 1MDB antara 2011 sehingga 2016, pernah beberapa kali dituduh mempunyai pertalian keluarga dengan Jho Low.
Namun hari ini ketika disoal kembali oleh peguam pembelaan, Wan Aizuddin Wan Mohamed yang mewakili Datuk Seri Najib Razak yang sedang berdepan dengan pertuduhan penyewelengan dana itu, Gaik Kim secara tegas menafikan dakwaan dirinya berkaitan dengan Jho Low.
Wan Aizuddin: Soalan ini sedikit kepada maklumat atau mungkin menggangu fikiran (red hearring), adakah benar anda ibu saudara kepada Jho Low?
Gaik Kim: Saya sudah katakan, saya bukan ibu saudaranya atau mempunyai sebarang pertalian kekeluargaan dengannya.
Gaik Kim yang kini bertugas sebagai setiausaha syarikat TRX City Sdn Bhd mendakwa dia hanya pernah melihat Jho Low sekali sahaja dan itupun dari jauh.
Goh Gaik Kim
Malah ketika proses pengecaman foto oleh peguam, Gaik Kim tidak berapa mengenali Jho Low sebaliknya hanya mengetahuinya dari media sahaja.
Gaik Kim juga mendakwa dia tidak tahu tentang peranan Jho Low dalam 1MDB dan hanya mengetahuinya melalui media sahaja.
Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan sedang berdepan berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Prosiding bersambung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah. -MalaysiaGazette