Sunday, November 3, 2024
Home Sukan Syafiq azam baiki kelemahan, mahu tingkat prestasi

Syafiq azam baiki kelemahan, mahu tingkat prestasi

Syafiq Hilmi. Foto Facebook Piala Presiden Kedah.

KUALA LUMPUR – Bekas penjaga gol remaja kebangsaan, Wan Muhammad Syafiq Hilmi Wan Kamri berazam melakukan banyak peningkatan daripada segi prestasi untuk pergi jauh bersama Kedah pada kempen Piala Presiden tahun ini.

Pemain berusia 20 tahun itu berkata, terdapat banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dan ketiadaan perlawanan kompetitif sejak Mac lalu perlu digunakan sebaik mungkin sebelum perlawanan bersambung semula hujung bulan ini.

Jelas anak kelahiran Kuala Nerus, Terengganu itu, beliau tidak boleh hilang fokus di atas padang selain perlu bijak membuat agakan bola ke dalam gawang.

“Saya mahu membuktikan kehadiran bukan hanya sekadar pelengkap ke Kedah selepas dua musim besama pasukan Belia Selangor.

“Dengan bakat dan pengalaman yang ada bersama Akademi Mokhtar Dahari (AMD), saya saya tekad memperagakan aksi terbaik untuk memburu tempat dalam skuad utama setiap perlawanan.

“Bagaimana saya perlu bekerja lebih keras lagi dan tidak boleh cepat berpuas hati sebaliknya mencari ilmu sebanyak mungkin dengan jurulatih, S. Ragesh,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Sebelum menyertai AMD, Syafiq merupakan pelatih di Sekolah Sukan Bukan Jalil dan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail.

Ketika bersama AMD di bawah kendalian Lim Teong Kim, dia menimba banyak pengalaman menyertai kejohanan di luar negara antaranya Asian Tour, Euro Tour, Torneo Delle Nazioni Italy, AFF Thailand, AFC Indonesia, AFC Malaysia dan Jenesys Cup Japan.

Pada jelajah latihan awal pra musim ini, Syafiq pernah dipinjamkan menyertai skuad Liga Super Kedah di bawah kendalian Aidil Sharin Sahak bagi menghadapi Piala Sabah Maju Jaya 2022 dan menimba pengalaman berlatih bersama jurulatih legenda, Khairul Azman Mohamad.

Sepanjang tempoh dua bulan Piala Presiden berehat, dia yang meminati bekas penjaga gol kebangsaan, Apek atau Khairul Fahmi Che Mat turut sesekali dipanggil menjalani latihan bersama skuad Liga Super.

Syafik Hilmi (tengah) mendengar arahan Khairul Azman Mohamad (kanan). Foto Facebook KDA FC.

Mengulas lanjut, Syafiq meluahkan rasa bertuah dapat berkongsi pengalaman dan kepakaran dengan Khairul Azman yang mahu melahirkan lebih ramai penjaga gol berwibawa pada masa depan.

Ujar anak keempat daripada lima beradik itu, dia menerima manfaat besar untuk memajukan diri dengan ilmu yang dicurahkan Khairul Azman khususnya untuk pemain muda hingga senior dalam pasukan Kedah.

“Beliau memiliki banyak ilmu, pengalaman luas dan kecemerlangan sebagai penjaga gol yang digelar legenda dan terhebat pada era 90-an dahulu yang menjadi menjadi motivasi untuk saya mengikut jejaknya satu hari nanti,” katanya.

Khairul Azman adalah bekas penjaga gol kebangsaan dengan 59 penampilan, memiliki rekod cemerlang sebagai penjaga gol Pahang pada 1985 hingga 1995 dan kemudian menyertai Sabah hingga 2005.

Antara pencapaian membanggakan beliau adalah ketika bersama Pahang semasa menjuarai Piala Malaysia 1992 sementara bersama Sabah pula, beliau membantu skuad itu muncul juara Piala FA pada tahun 1995, juara Liga Perdana 1996 dan juga pernah dinobatkan sebagai pemain terbaik Piala Malaysia pada ketika itu.

Sebagai jurulatih penjaga gol, beliau menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 2013 dan adalah antara individu penting dalam membimbing tiga penjaga gol ternama iaitu Farizal Marlias, Izham Tarmizi Roslan dan K Sasi Kumar. – MalaysiaGazette