Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Program Debat Perdana di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 12 MEI 2022.

KUALA LUMPUR- Audit forensik dan penyelamatan Sapura Energy Bhd. (SEB) boleh dibuat secara serentak, demikian menurut bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Tegasnya, beliau tidak pernah menolak audit forensik ke atas syarikat berkenaan.

Bagaimanapun menurut Ahli Parlimen Pekan itu, Pakatan Harapan (PH) sendiri semasa menjadi kerajaan tidak pernah melakukan audit forensik terhadap SEB melalui Permodalan Nasional Bhd. (PNB).

Untuk rekod, PNB mempunyai 40 peratus pegangan yang juga pemegang saham terbesar di dalam syarikat minyak dan gas itu sejak 2019.

“Biasanya, bomba tak buat forensik audit sebelum menyelamat penghuni dalam rumah terbakar.

“Kita selamatkan mereka dulu. Selepas diselamatkan dan api dipadam, baru kita buat forensik untuk ketahui kenapa rumah terbakar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Najib mengulas cadangan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Debat Perdana di antara beliau dengan Ketua Pembangkang itu, malam tadi.

Anwar mencadangkan kerajaan supaya melaksanakan audit forensik terhadap SEB.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, isu utama bukanlah mengenai langkah penyelamatan kerajaan terhadap SEB sebaliknya apa yang penting adalah mencari punca sebenar yang menyebabkan syarikat itu dilanda masalah.

Katanya, sekiranya audit forensik tidak dilakukan, ia menunjukkan seolah-olah kerajaan menjaga kepentingan beberapa ahli politik daripada kepentingan rakyat.-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.