Leong Jun Hao

BANGKOK – Terpinga-pinga dan terkedu.

Begitulah reaksi pemain perseorangan ketiga Malaysia, Leong Jun Hao selepas dia gagal bangkit untuk meneruskan perjuangan membantu pasukan negara menamatkan kemarau 30 tahun kejuaraan Piala Thomas, di sini.

Jun Hao, mengalami kekalahan straight set kepada Prannoy H.S. 13-21, 8-21 dalam persaingan sengit bagi menentukan tempat ke separuh akhir Pusingan Akhir Piala Thomas 2022 di Impact Arena.

“Memang tak tahu nak cakap apa, saya tak beri sumbangan kepada Malaysia,” kata Jun Hao yang sebak ketika ditemui pemberita selepas perlawanan di zon campuran di sini.

India memusnahkan harapan Malaysia dengan keputusan 3-2 sekali gus mencipta sejarah tersendiri untuk mara ke separuh akhir buat pertama kali dalam kejohanan berpasukan badminton paling berprestij di dunia itu.

Bagaimanapun, Jun Hao, yang berada di kedudukan ke-124 terbaik dunia, berikrar untuk tampil lebih bertenaga dan memberikan sumbangan membanggakan buat Malaysia pada masa hadapan.

Dalam pada itu, pemain beregu lelaki Malaysia Nur Izzuddin Rumsani berkata permainan hari ini tidak berjalan lancar manakala pasangannya Goh Sze Fei mengakui mereka amat sukar untuk mengutip mata ketika menentang lawan, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty memandangkan kekuatan pertahanan beregu India itu pada sepanjang perlawanan.

Satwiksairaj-Chirag memberi inspirasi kepada kebangkitan India selepas ketinggalan satu perlawanan untuk mengikat kedudukan 1-1 apabila mereka menundukkan Sze Fei-Nur Izzuddin, 21-19, 21-15, pada perlawanan kedua.

Sementara itu,  Prannoy yang berusia 29 tahun menyifatkan perlawanan ketiga sebagai perlawanan ‘hidup atau mati’ dan berbangga membantu pasukannya mara ke perlawanan separuh akhir esok.

“Tekanan sentiasa ada apabila kedudukan terikat 2-2. Saya merasakan bahawa edisi ini adalah ruang untuk kita turun beraksi habis-habisan,” katanya.

Pemain nombor 23 dunia itu juga percaya bahawa beliau kini berupaya untuk mengalahkan pemain terbaik dunia.

“Saya amat yakin dan mengenali diri saya. Saya boleh menewaskan sesiapa sahaja tetapi saya perlu lebih konsisten kerana itulah yang akan membuatkan anda menjadi pemain yang lebih baik,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast