Antara kenderaan yang mengalami kerosakan teruk akibat dilanggar lori 10 tan yang mengalami masalah brek dan terbabas di lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) dekat Subang tengah malam tadi. Ihsan Bomba Selangor

KUALA LUMPUR – Lori seberat 10 tan yang terlibat dalam kemalangan jalan raya dengan sembilan lagi kenderaan di kilometer 9.2 Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) dekat Subang lewat malam tadi disebabkan mengalami masalah brek.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Deputi Superintendan Ahmad Izuddin Mohd Juhari berkata,  pemandu lori berkenaan telah tampil di balai polis selepas terlibat dalam kemalangan kira-kira jam 11.44 malam.

“Lori 10 tan yang membawa muatan getah beku  mengalami masalah brek dan terbabas sebelum merempuh sembilan kenderaan dihadapannya.

“Kemalangan itu telah mengakibatkan tiga cedera termasuk dua kanak-kanak masing-masing berusia lima dan 10 tahun,” katanya hari ini.

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila lori dari arah Slim River menghala Tampin terbabas akibat masalah brek lalu merempuh sembilan kenderaan yang berhenti di lorong tengah serta paling kanan kerana terdapat kerja-kerja pembinaan jalan di lebuh raya itu.

Akibat rempuhan itu, dua warga Bangladesh iaitu seorang wanita dan kanak-kanak perempuan berusia lima tahun serta seorang kanak-kanak lelaki warga tempatan berumur 10 tahun daripada kenderaan berbeza mengalami cedera ringan.

“Dua kanak-kanak yang tersepit mengalami kecederaan masing-masing di kepala dan peha itu diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya sebelum dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan ringkas hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu lori hilangkan diri selepas rempuh enam kenderaan

Katanya kesemua mangsa terlibat dalam kemalangan itu tempat tinggal beralamat di negeri Perak; Gombak, Selangor dan Negeri Sembilan manakala kesemua sembilan kenderaan terlibat dalam kemalangan tersebut mengalami kerosakan di depan dan belakang.

Kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette