KUALA LUMPUR – Empat sekeluarga dan tujuh warga asing yang menaiki dua buah kenderaan melalui detik cemas selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah lori 10 tan dengan enam buah kenderaan.
Kejadian berlaku di Kilometer 9.2 (Elite) Lebuhraya Utara Selatan hubungan tengah semalam.
Pengarah Jabatan Bomba Negeri Selangor Norazam Khamis berkata, bilik operasi bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan terebut jam 11.55 malam tadi.
“Ketika tiba di tempat, kami mendapati sebuah lori 10 tan telah melanggar kereta Perodua Axia dinaiki empat orang mangsa sekeluarga dan sebuah kereta Nissan Grand Livina yang dinaiki tujuh warga Bangladesh yang terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita serta tiga kanak-kanak.
“Menurut saksi di lokasi kemalangan tersebut, insiden membabitkan tujuh buah kenderaan dan hanya mengalami kerosakan kecil,” katanya dalam kenyataan pagi ini.
Namun tambah beliau, sejurus pihak bomba tiba di lokasi kemalangan hanya tiga buah kenderaan termasuk lori 10 tan itu berada di lokasi kejadian.
Ujarnya, pemeriksaan mendapati lima mangsa yang mengalami kecederaan ringan termasuk tiga mangsa penumpang Axia dan dua lagi mangsa Grand Livina.
“Kesemua mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu berjaya keluar sendiri dan juga ada yang diselamatkan oleh orang awam sebelum pihak bomba sampai di lokasi dan mereka mengalami kecederaan ringan,” katanya.
Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Putrajaya menggunakan dua buah ambulans.
Bagaimanapun, pemandu lori berkenaan tidak dapat dikesan di lokasi kemalangan dipercayai telah menghilangkan diri. – MalaysiaGazette