Pakar Sosial, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

KUALA LUMPUR – Peristiwa hitam 13 Mei yang berlaku 53 tahun lalu boleh berulang sekiranya perpaduan tidak dijaga dengan baik di negara ini terutama di platform media sosial.

Pakar Sosial, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, dalam era dunia digital, komen negatif ditulis sewenang-wenangnya sekiranya terdapat percanggahan pendapat antara satu pihak dengan yang lain mengenai pelbagai isu.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan supaya sebelum sesuatu hantaran dibuat di media sosial, seseorang perlu memikirkan sama ada tindakannya bertujuan untuk kebaikan atau sebaliknya.

“Sekiranya hanya untuk menghentam, mengenakan, menjatuhkan, merosakkan dan merendahkan orang lain, maka berhentilah.

“Tanya diri, apakah agenda atau hasrat akhir sesuatu maklumat itu dimuat naik? adakah untuk membangunkan negara, beri peringatan atau nasihat kepada masyarakat? jika bertujuan baik, maka kita teruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tajuk ‘Perpaduan Era Metaverse’ di Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM1, semalam.

Mohammad Shatar Sabran bercakap tentang ‘Perpaduan Era Metaverse’ di Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM1, semalam.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menyarankan warga maya menyatakan perkara positif dalam media sosial terutama mengenai negara.

“Kata-kata yang baik merupakan satu doa dan insya-Allah boleh dimakbulkan sekiranya kira-kira 32 juta rakyat di negara ini melakukannya, maka akan bertambah baik Malaysia.

“Tiada guna bercakap hal negatif sekiranya kita tidak mampu mengubahnya, ia akan kekal sebagai sembang kosong dalam kumpulan media sosial.

“Lebih baik kita bercakap hal positif, seterusnya menikmati kepelbagaian yang unik di negara ini dengan saling menghormati antara satu sama lain dan membolehkan masyarakat hidup dalam kedaan lebih harmoni.

“Berhati-hati dalam berkongsi sesuatu maklumat terutamanya yang mampu menggugat keamanan negara kerana impaknya sangat besar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Takkan expats pun rakyat. Kek apartheid DEB/NEP tu pun jadi teras perpaduan ke? Jawablah prof serba tahu.

Comments are closed.