Pengeluaran durian merosot di seluruh negara ekoran cuaca hujan yang ekstrem.

JASIN – Harga semua jenis durian dijangka meningkat sekali ganda atau 100 peratus tahun ini susulan pengeluaran raja buah itu berkurangan lebih 50 peratus di seluruh negara.

Kementerian Pertanian dan Industi Makanan (MAFI) juga dimaklumkan, keadaan itu berpunca daripada hujan berterusan selain kos baja dan gaji pekerja yang meningkat menyebabkan musim pengeluaran durian tahun ini lewat berbanding sebelum ini.

Timbalan Menteri MAFI I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, setakat ini, dua negeri iaitu Pulau Pinang dan Perak sudah menyaksikan kekurangan pengeluaran durian sehingga 50 peratus.

“Persatuan Penanam Durian juga ada memaklumkan kepada kita mereka mungkin akan naikkan harga durian termasuk durian pilihan utama seperti black thorn (duri hitam) dan Musang King selain juga durian kampung.

“Saya ada laporan yang menjangkakan tahun ini durian duri hitam boleh mencecah harga RM100 sekilogram, Musang King, RM60 hingga RM80 mengikut gred berbanding dulu RM30 ke RM40.

“Kekurangan pengeluaran raja buah ini disebabkan cuaca hujan yang ekstrem, kos baja dan pekerja yang semakin meningkat,” katanya pada sidang media selepas masjlis rumah terbuka Aidilfitri beliau di kediamannya di Umbai, di sini hari ini.

Ahmad (kiri) melayani tetamu yang hadir pada Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Umbai, Melaka, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Jasin berkata, hujan berterusan bukan sahaja memberi kesan kepada pembungaan, malah pendebungan kerana hujan lebat mengakibatkan putik durian gugur sehingga menjejaskan penghasilan buah.

Jelasnya, pihaknya juga tidak dapat menetapkan had harga bagi buah-buahan kerana ia adalah diluar kawalan, sebaliknya ditentukan berdasarkan prinsip asas ekonomi bergantung kepada pengeluaran dan permintaan.

“Kalau bekalan kurang, permintaan tinggi, harga akan meningkat dan begitu juga sebaliknya. Sebab itu buah-buahan ini kita tiada harga kawalan,” katanya.

Tambahnya, beliau juga telah mendapatkan pandangan daripada Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri termasuk Perak dan Pulau Pinang yang mengenai jangkaan kenaikan itu yang sudah berlaku di negeri berkenaan. – MalaysiaGazette