Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang hartawan dari Pulau Pinang menjadi mangsa kes penipuan terbesar apabila kehilangan RM21 juta dalam tempoh lima bulan.

China Press melaporkan, mangsa yang merupakan pengasas sebuah syarikat berasaskan tenaga telah menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai bank pada November tahun lalu.

Penipu pertama telah memberitahu mangsa bahawa kad kreditnya telah digunakan untuk tujuan jenayah. Selepas menafikan perbuatan itu, mangsa disambung kepada penipu kedua yang menyamar sebagai pegawai Bank Negara.

“Mangsa terpedaya dan mendedahkan maklumat perbankan selepas diyakinkan bahawa tujuannya adalah untuk membantu siasatan.

“Pada bulan Januari tahun ini, mangsa sekali lagi tertipu apabila memberitahu nombor TAC ,” demikian lapor China Press.

Menurut akhbar itu, apabila menyemak akaunnya pada bulan lalu, mangsa baru menyedari sebanyak RM21 juta telah hilang dari dua akaun bank dan akaun berkenaan juga sudah dibekukan.

Difahamkan, mangsa pernah dinasihatkan pegawai bank sebenar supaya berhati-hati dengan scam, tetapi mangsa berpendapat dirinya tidak mungkin diperdayakan. – MalaysiaGazette