MELAKA – Peniaga makanan di negeri ini diberi amaran agar tidak menjadikan ‘kebanjiran’ pelancong ke Melaka sebagai alasan menaikkan harga makanan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar berkata, ini berikutan pihaknya mula mendapat aduan berkaitan kenaikan harga yang tidak munasabah di beberapa restoran di Ayer Keroh.
“Kita akui menerima aduan malah telah memberikan notis kepada pengusaha restoran yang menaikkan harga sehingga tidak munasabah dan tindakan pemeriksaan telah dilakukan.
Tambahnya, antara alasan cubaan peniaga tersebut menaikkan harga adalah untuk menampung kerugian yang dialami mereka selama dua tahun akibat pandemik COVID-19 namun beliau menegaskan ia bukan alasan kerana semua pihak terkesan sepanjang tempoh itu.
“Kami juga percaya peniaga ini bukan degil tetapi mencuba nasib dengan naikkan harga antara RM2 hingga RM3 dengan kehadiran pelancong walaupun alasan yang diberikan adalah harga barang mentah meningkat sedangkan ia naik sedikit dan masih terkawal,” katanya.
“Kita telah mengeluarkan dua notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 terhadap pengusaha dua restoran susulan aduan mengenai caj harga makanan ‘tidak masuk akal’.
“Notis bertulis itu perlu dijawab oleh peniaga atau pemilik dalam tempoh tujuh hari dan sekiranya gagal tindakan boleh dikenakan. Jika didapati bersalah, peniaga itu boleh dikenakan kompaun antara RM100 hingga RM10,000 bagi kesalahan pertama mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya. – MalaysiaGazette