KUALA LUMPUR – Lebih 100,000 ahli Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) yang berdaftar berpeluang untuk memenangi Hadiah Cabutan Apresiasi Festival Guru Malaysia (FGM) 2022 berupa kereta jenis Perodua Myvi sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, pemenang hadiah kereta Perodua Myvi 1.5 AV yang bernilai kira-kira RM60,000 itu akan dipilih secara rawak menggunakan kaedah digital.
“Kriteria pemilihan sebenarnya dibuat secara rawak dengan menggunakan kaedah digital berdasarkan kaedah yang ada dalam sistem keahlian YGMB. Ini bermakna semua ahli yang berdaftar berpeluang untuk dipilih sebagai pemenang.
“Jadi sama-sama kita tunggu esok, siapa dan dari mana pemenang ini. Hadiah utama ini adalah tajaan Perodua. Ia juga sebagai tanda penghargaan YGMB kepada ahli yang sentiasa memberi sokongan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Wan Munadi, hadiah kepada pemenang akan disampaikan sendiri oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin sebagai acara kemuncak Majlis Apresiasi FGM 2022.
FGM 2022 berlangsung selama lima hari sejak Khamis lalu di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Bachok, Kelantan.
Festival ini dianjurkan dengan meriah pada tahun ini selepas dua tahun tidak dapat dianjurkan ekoran pandemik Covid-19.
Pelbagai acara menarik dianjurkan sempena FGM kali ini termasuk pameran daripada agensi berkaitan pendidikan, gerai jualan barangan dan makanan serta pertunjukkan seni budaya negeri Kelantan. – MalaysiaGazette