Seorang lelaki terlantar dengan berlumuran darah di dalam longkang. Foto: Bomba selangor

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki cedera parah apabila terjatuh daripada pokok mempelam di Taman Pandan Indah Ampang, di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba Negeri Selangor, Norazam Khamis berkata, bilik gerakan operasi menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu daripada orang awam jam 2.32 petang tadi.

Lelaki parah selepas terjatuh dari pokok ke dalam longkang semasa hendak memetik buah mempelam dalam kejadian di Taman Pandan Ampang petang tadi. Gambar Ihsan Bomba selangor

Katanya, bertindak atas maklumat itu, sepasukan lima anggota bomba dan penyelamat daripada Balai Bomba dan Penyelamat Pandan telah bergegas ke tempat kejadian.

“Hasil pemerhatian di tempat kejadian mendapati kejadian membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 40-an telah terjatuh ke dalam longkang pada kedalaman empat meter.

“Mangsa dipercayai terjatuh ketika cuba memanjat pokok mempelam untuk memetik buah mempelam yang terletak berhampiran longkang tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lelaki parah selepas terjatuh dari pokok ke dalam longkang semasa hendak memetik buah mempelam dalam kejadian di Taman Pandan Ampang petang tadi. Gambar Ihsan Bomba selangor

Menurut Norazam, mangsa terjatuh selepas dahan pokok yang dipijaknya patah secara tiba-tiba.

“Mangsa telah mengalami kecederaan patah kaki kanan serta luka di bahagian kepala dan ditemui dalam keadaan terlantar dengan berlumuran darah di dalam longkang itu.

“Pihak bomba telah menggunakan tangga untuk turun dan berjaya membawa keluar mangsa daripada longkang tersebut,” ujarnya sambil menambah lelaki tersebut dihantar ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan. – MalaysiaGazette