Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – MCA mengucapkan tahniah kepada UMNO atas kejayaan meluluskan pindaan perlembagaan parti bagi membolehkan pemilihan UMNO ditangguhkan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15)

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong yang turut menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas hari ini berkata, MCA telah membuat pindaan perlembagaan membabitkan pemilihan parti sejak dua tahun lalu.

“Terlebih dahulu saya ucapkan tahniah kepada parti UMNO kerana telah dapat meminda perlembagaannya seperti MCA juga.

“Di mana pemilihan parti boleh ditangguhkan selepas sesuatu pilihan raya diadakan.

“Jadi saya rasa templet yang digunakan sama seperti MCA dan kita melalui proses ini sudah dua tahun. Kini model ini telah digunakan. Ini satu perkara baru dalam parti UMNO khususnya,” kata Ka Siong.

MCA meluluskan pindaan ke atas perlembagaan parti itu untuk menangguhkan pemilihan parti sehingga enam bulan selepas PRU-15 dijalankan pada 13 Mac 2011.

Pindaan ke atas Perkara 167 dalam Perlembagaan MCA itu juga menetapkan supaya penangguhan pemilihan parti tidak dibuat sehingga tempoh 36 bulan selepas PRU terakhir dijalankan.

Keputusan itu membolehkan MCA menangguhkan serta merta pemilihan parti yang dijadualkan diadakan tahun ini.

Sebanyak 99 peratus daripada seramai 1,844 perwakilan MCA menyokong usul pindaan berkenaan dengan mengangkat tangan ketika pengundian dijalankan.

Pindaan yang sama dilakukan oleh UMNO hari ini dengan 2,586 perwakilan UMNO daripada 192 bahagian seluruh negara sebulat suara meluluskan usul pindaan Perlembagaan Umno.

Ka Siong berkata, dengan penangguhan pemilihan, parti dapat memberikan tumpuan sepenuhnya dalam menghadapi PRU-15.

“Memastikan tumpuan kita lebih kepada pilihan raya. Bukan semata-mata kepada pemilihan parti tapi pilihan raya itu sendiri.

“Sebab kenapa kita buat begitu ialah untuk memastikan kita memberikan tumpuan yang khusus kepada persediaan untuk pilihan raya daripada kita habiskan masa untuk pemilihan parti,” jelas Ka Siong.

Kelulusan yang dicapai dalam PAU Khas memberikan dua pilihan kepada Majlis Kerja Tertinggi UMNO di bawah fasal 10.16 Perlembagaan UMNO berkaitan pemilihan parti.

Mereka boleh memutuskan untuk melanjutkan pemilihan selama 18 bulan atau dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) selesai diadakan. – MalaysiaGazette