Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta barisan kepimpinan UMNO yang lain hadir pada Perhimpunan Agung Khas UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 15 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Pendekatan UMNO yang memberi ruang kepada muka-muka baharu pada dua Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah antara bukti parti itu tidak ketandusan pemimpin pelapis.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia juga memperlihatkan kesiapsiagaan UMNO untuk memastikan obor perjuangan parti terus semarak menyongsong usia 100 tahun.

“Inilah kedinamikan politik UMNO. Kita sentiasa bersedia membuat anjakan agar sesuai dengan tuntutan semasa. Kini, jumlah pengundi muda berusia bawah 40 tahun melebihi 12 juta orang atau mewakili 58 peratus daripada jumlah keseluruhan 21 juta pengundi.

“Apakah UMNO tidak cakna akan perkara ini? Apakah kita yang telah bertapak dan menjadi wakil rakyat sejak lima, enam, tujuh atau lapan penggal masih merasakan ini zaman kita lagi? ” soalnya ketika menyampaikan ucapan pada Persidangan Agung Khas UMNO hari ini.

Justeru Ahmad Zahid berkata, beberapa pendekatan termasuk pindaan Perlembagaan yang dicadangkan kali ini dapat memberi ruang kepada parti untuk mengorak langkah dan menyusun strategi yang berkesan bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang tanpa bergelut dengan masalah dalaman.

Katanya, ia adalah amanah dan tanggungjawab ahli UMNO terhadap kelangsungan parti.

Malah katanya, ia menuntut kepada ahli UMNO untuk berlapang dada dan berjiwa besar bagi memastikan parti terus mekar menuju ke satu abad perjuangannya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan, rakyat semakin tidak selesa dengan percaturan pihak-pihak tertentu yang sering mencari suaka politik untuk kepentingan diri dan kedudukan.

Ujarnya, pada PRU yang lepas, UMNO dan Barisan Nasional (BN) berlapang dada menerima kekalahan dan mengakui hakikat keputusan rakyat tanpa sebarang kekacauan.

“Suka saya tegaskan, UMNO tidak mempunyai DNA atau baka untuk mencetuskan kekacauan yang boleh menjerumuskan negara kepada keadaan tidak menentu.

“UMNO punya catatan membangunkan negara…UMNO bersejarahkan kemakmuran dan kestabilan. UMNO berwajahkan keharmonian dan kesejahteraan.

“Justeru, soal kestabilan, keharmonian, kemakmuran serta kesejahteraan adalah agenda yang tidak pernah luput daripada kamus perjuangan UMNO,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast