MBJB mengingatkan orang awam supaya tidak meletakkan kenderaan ditempat larangan.

JOHOR BAHRU – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) memberi amaran pemilik kenderaan yang diletakkan di tempat larangan akan dikenakan tindakan serta merta.

Menerusi kenyataan media MBJB yang dikongsikan hari ini, pemilik kenderaan boleh dikenakan tindakan kompaun, sitaan serta merta atau kedua-duanya sekali.

MBJB terpaksa menunda salah sebuah kenderaan yang diparkir di kawasan tidak dibenarkan.

Tindakan penguatkuasaan diambil di bawah peruntukkan Akta 133 Jalan, Parit dan Bangunan, Seksyen 46 (1) (g) dan Undang-Undang Kecil Mencegah Kekotoran MBJB 1981 pindaan 2014 (6) (i) (g) iaitu kesalahan meletakkan kenderaan di mana-mana tempat awam yang tidak dibenarkan.

Sementara itu, untuk pemilik kenderaan yang ditunda atau disita, MBJB memaklumkan individu terlibat boleh menghubungi Jabatan Penguatkuasaan di talian 07-2198227 pada hari bekerja atau boleh melayari MyVIS (Sistem Pemindahan Kenderaan).

MBJB mengingatkan orang awam supaya bertanggungjawab dengan meletakkan kenderaan di lokasi yang dibenarkan sahaja.

Mereka juga boleh melayari laman web rasmi MBJB bagi tujuan semakan kenderaan yang telah ditunda oleh MBJB.

Menurut kenyataan yang sama, langkah itu diambil untuk memastikan bandaraya Johor Bahru berada dalam keadaan tersusun.

Dalam pada itu MBJB juga ingin membentuk sikap warga Johor yang lebih bertanggungjawab.

Sejak pembukaan sempadan Singapura-Malaysia keadaan lalu lintas dilihat agak sibuk dengan kehadiran kenderaan yang banyak di atas jalan khususnya di pusat bandar Johor.

Rentetan itu tindakan kompaun terhadap kenderaan halangan yang parkir di lokasi yang tidak dibenarkan juga akan terus giat dijalankan siang dan malam untuk memastikan aliran trafik lancar.

Jalan-jalan yang sering diambil tindakan kompaun oleh Unit Trafik, Jabatan Penguatkuasaan MBJB iaitu Jalan Wong Ah Fook, Jalan Ibrahim, Jalan Jim Quee, Jalan Trus, Jalan Tan Hiok Nee, Jalan Abdullah Ibrahim, Jalan Dato’ Dalam dan beberapa jalan lain di pusat bandar. – MalaysiaGazette