Joko Widodo. foto Nasional Kompas

GARUDA Asia, mungkin itulah gelaran yang boleh diberikan kepada negara Indonesia pada satu masa nanti. Hal ini kerana Presiden Jokowi telah melakukan begitu banyak sekali reformasi dan transformasi yang menuju ke arah menjadi sebuah negara yang berkeperibadian, berakhlak, bermandiri dan berdaulat.

Selain itu, Presiden Jokowi juga telah melakukan pembaharuan ke atas model ekonomi Indonesia yang bakal memacu tahap prestasi ekonomi negara garuda itu. Trend ini bakal membantu Indonesia menjadi ‘raksasa’ ekonomi di Asia Tenggara satu masa nanti. Perkara ini dapat dibuktikan melalui peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Indonesia.

Pada tahun pertama Jokowi menjadi Presiden pada 2014, KDNK Indonesia ialah sebanyak 890.8 billion USD dan meningkat dengan ketara kepada 1.058 trillion USD pada tahun 2020. Tren ini berterusan sehingga ke tahun 2021 dengan unjuran 1.100 trillion USD dan dijangka terus meningkat kepada unjuran 1.150 trillion USD pada tahun 2022.

Perpindahan ibu kota ke Kalimantan

Umum mengetahui bahawa Presiden Jokowi telah memohon kepada Parlimen Indonesia untuk memindahkan ibu kota negara itu dari Jakarta ke Kalimantan pada 16 Augustus 2019. Namun, usaha ini sedikit terencat kerana pandemik Covid-19 yang memberi kesan dengan begitu ketara kepada ekonomi Indonesia.

Jadi, tidak hairan mengapa Indonesia adalah antara negara terawal di Asia Tenggara yang menerima pakai apa sahaja jenis vaksin Covid-19 yang tersedia. Hal ini bagi mengurangkan impak negatif ke atas pelan pembangunan Indonesia secara umumnya. Secara spesifiknya bagi memastikan usaha Presiden Jokowi untuk memindahkan ibu kota ke Kalimantan tidak terkesan dengan begitu teruk.

Kalimantan adalah sebuah wilayah yang berkeluasan dalam anggaran 743,330 km 2. Anggaran keluasan wilayah Kalimantan ini lebih kurang 2 kali ganda anggaran jumlah keluasan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak yang berkeluasan 329,813 km 2. Oleh itu, keputusan memindahkan ibu kota ke wilayah Kalimantan pastinya dapat membantu merancakkan ekonomi Indonesia. Rancak di Jakarta dan rancak di Kalimantan bakal menjadikan seluruh Indonesia rancak.

Kemacetan Jakarta

Jakarta sudah begitu sibuk dengan kesesakan sama ada kesesakan ekonomi, sosial mahupun politik. Keadaan geografi Jakarta yang semakin padat tidak lagi dapat memaksimumkan pelebaran kepada ekonomi Indonesia. Selain itu, Jakarta mengalami penurunan muka tanah yang menyebabkan wilayah tersebut sering kali dilanda banjir dan berlakunya kerosakan yang tidak mungkin lagi ditinggali oleh umat.

Hal ini pernah diberi amaran oleh Dosen di Fakultas Geologi Universitas Padjadjaran bahawa terdapat begitu banyak ancaman bahaya yang mengintai. Bahkan CNN Indonesia pada 22 Jun 2021 telah memberi amaran bahawa Jakarta bakal tenggelam pada tahun 2050. Hal ini berlaku kerana kepesatan aktiviti ekonomi di Indonesia di samping aktiviti menggali air bawah tanah oleh penduduk selain isu-isu global seperti pemanasan global, pemecahan glasier di kutub dan kerancakkan manusia menjarah alam sekitar bak ‘kerasukan alam ghaib’.

Seterusnya, Jakarta adalah sebuah wilayah yang sinonim dengan kepulauan Jawa manakala Kalimantan disebut kepulauan Borneo. Oleh itu, Jakarta lebih didiami oleh ‘Orang Jawa’ manakala Kalimantan majoritinya diduduki oleh ‘Suku Dayak’. Oleh itu, peningkatan taraf ekonomi dianggap tidak seimbang di antara etnik dan kepulauan-kepulauan yang ada di
Indonesia.

Maka, perpindahan ibu kota ke Kalimantan sudah pastinya keputusan yang tepat daripada Presiden Jokowi. Kalimantan sememangnya memiliki tanah yang subur dan paling penting ianya bebas daripada ancaman berkala gunung berapi. Oleh itu, ianya sebuah wilayah yang sesuai untuk menjadi ibu kota baharu Indonesia dan pelaburan yang masuk kebanyakannya telah diarahkan ke wilayah Kalimantan. Pelbagai projek-projek pembangunan telah dirancang oleh Presiden Jokowi bagi memastikan
Kalimantan dapat dimajukan.

Situasi ini adalah satu usaha yang terpuji oleh Presiden Jokowi kerana ingin memastikan berlakunya keseimbangan pembangunan ekonomi dan kelestarian hidup secara menyeluruh di negara Indonesia. Oleh itu, tidak mustahil negara Indonesia bakal menjadi sebuah negara yang sangat maju, gah ekonominya dan mantap pembangunan ekonomi, politik dan sosialnya.

Mohd Ramlan Mohd Arshad
Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadiran dan Pengajian Polisi, UiTM
Felo Bersekutu, Institute for Indonesia, Thailand and Singapore, UUM-ITS

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast