KUALA LUMPUR – Pelakon popular, Mira Filzah dan suami, Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar mengumumkan nama anak mereka selepas tujuh hari melahirkan cahaya mata sulung mereka.
Pengumuman itu dibuat menerusi satu hantaran Instagram berserta beberapa keping gambar semasa majlis tahnik dan bercukur yang dibuat.
“Allahumma salli ala Muhammad, waala ali Muhammad. Hari ini hari ketujuh bersama putera tersayang kami.
“Dengan rasa penuh keinsafan dan kesyukuran, kami menamakan putera kami, Wan Khair Amir bin Wan Emir Astar,” tulisnya.
Selain mengumumkan nama anak, pasangan tersebut juga dilihat telah menghasilkan akaun Instagram anak mereka dengan menggunakan nama @wankhairamir.
“‘Khair’ membawa makna ‘baik, elok’, juga diambil daripada nama arwah Papa (Wan Mohammad Khair-il Anuar).
“‘Amir’ pula bermaksud ‘orang yang memegang perintah, pemimpin’, juga diambil sebagai variasi daripada nama kami berdua Emir dan Amirah,” jelas Mira atau nama sebenar, Nur Amirah Filzah Badioezaman, 29.
Mira dan Wan Emir mendirikan rumah tangga pada 2 September 2020 dan diraikan dalam empat majlis berasingan. – MalaysiaGazette