JOHOR BAHRU – Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim akan menyertai siri perlumbaan Fanatec GT World Challenge Asia yang bakal membuka tirai di Litar Antarabangsa Sepang 20 Mei ini.
Setelah dua tahun tidak beraksi akibat Covid-19 dan memberi tumpuan kepada persaingan GT World Challenge Australia pasukan Triple Eight JMR kembali ke GT Asia dengan menampilkan dua kereta Mercedes AMG GT3 yang akan dipandu empat pemandu dalam kategori Pro-Am.
Tunku Abdul Rahman akan berganding dengan naib juara musim tahun 2018, Nick Foster dari Australia.
Manakala Tunku Abu Bakar akan membuat penampilan pertamanya sebagai pelumba GT3, digandingkan dengan pelumba tempatan serta berpengalaman luas, Jazeman Jaafar.
“Setelah dua tahun tidak berlumba di Sepang sejak tahun 2019, saya amat teruja untuk kembali bersaing di sini. Banyak telah berubah dari segi pertumbuhan dan perkembangan pasukan kami, kini dua kereta bersaing dan adik saya juga menyertai, jadi ia amat istimewa buat kami.
“Saya harap kita akan mendapat keputusan yang cemerlang untuk menggembirakan peminat tempatan,” kata Tunku Abdul Rahman.
Pada tahun 2019, Tunku Abdul Rahman berganding dengan Jazeman dan Shane Van Gisbergen berjaya merangkul satu kemenangan dan empat penampilan podium.
Tunku Abu Bakar turut menzahirkan keterujaan untuk pembuat penampilan pertamanya dalam persaingan perlumbaan.
“Setelah bertahun saya berlatih dan membuat persiapan, saya bersedia untuk bersaing dan uji kemampuan diri dengan para pelumba lain serta menyumbang kepada pasukan saya.
“Banyak yang saya pelajari daripada Jazeman dan sesi-sesi latihan menunjukkan hasil yang baik. Saya sedar laluan persaingan ini tidak akan mudah namun saya berharap untuk memberikan persembahan yang menggembirakan peminat perlumbaan nanti,” katanya menerusi kenyataan media Royal Press Office (RPO) hari ini.
Selepas Sepang, saingan GT World Challenge Asia akan diteruskan di empat litar Jepun (Suzuka, Fuji, Okayama & Sugo) sebelum berakhir di litar Mandalika, Indonesia pada bulan Oktober.- MalaysiaGazette