Hazlina Kasah didakwa atas dua pertuduhan membabitkan rasuah di Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang.

BUTTERWORTH – Seorang guru sebuah sekolah menengah di sini mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan menerusi pembekalan peralatan sekolah bernilai RM2,876.32 pada 2017.

Tertuduh, Hazlina Kasah, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Hazlina didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Panitia Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) ketika berkhidmat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pokok Sena untuk mendapatkan suapan dengan mencadangkan syarikat miliknya iaitu  Hazwan Event Management bagi membekal beberapa barangan.

Antara barang yang dibekalkan adalah 10 unit kertas A4, marker pen (30), kertas warna (10), alat penimbang (2), kompas (2), serta masing-masing satu unit alat tekanan darah, trampolin serta radio bernilai RM2,353.66.

Hazlina mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Pentadbiran SMK Pokok Sena di daerah Seberang Perai Utara pada 17 Oktober 2017.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama membabitkan pembelian lima unit bola sepak dan satu unit bola futsal bernilai RM522.66 yang dilakukan di lokasi sama pada 19 Oktober 2017.

Kesemua pertuduhan didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu  jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Mohamad Azlan Basri.

Mohamad Azlan meminta mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 namun tertuduh yang kini Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di sebuah sekolah menengah di Kepala Batas itu merayu agar jaminannya dikurangkan atas alasan mempunyai lima anak masih bersekolah selain berpendapatan RM8,000 sebulan.

Zulhazmi kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Selain itu, tertuduh juga dikenakan syarat tambahan iaitu perlu menyerahkan dokumen perjalanan kepada pihak mahkamah, melapor diri di pejabat SPRM berhampiran tempat tinggalnya sebulan sekali serta tidak menganggu saksi-saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 27 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes serta untuk tertuduh melantik peguam. – MalaysiaGazette