KUALA LUMPUR – Kapten Sabah FC Baddrol Bakhtiar tidak menyembunyikan rasa rindu ke atas pasukan lamanya, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) walaupun sudah tidak bersama pasukan itu.
Pada satu sesi temu bual bersama Baddrol selepas perlawanan menentang Penang FC pada malam tadi, dia telah tersalah sebut nama pasukannya kini kepada Kedah.
Dalam perlawanan itu, pemain berusia 34 tahun itu turut menjaringkan dua gol termasuk gol cantik ‘overhead kick’ untuk membantu Sabah FC menundukkan Penang FC dengan keputusan 4-2.
“Sasaran saya malam ini adalah untuk menjaringkan gol untuk dihadiahkan kepada anak dan isteri yang sanggup datang dan memberi kata-kata semangat kepada saya.
Untuk rekod, Sabah FC adalah pasukan kedua Baddrol selepas beraksi bersama Kedah sejak 2005.
Malah, penyokong KDA FC juga sehingga kini masih lagi merasakan kehilangan bekas kapten skuad Sang Kenari itu selepas dia memilih untuk berhijrah bersama The Rhinos.
Dalam pada itu, Sabah FC menang ke atas Penang FC dengan jumlah jaringan 4-2 dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Selasa.
Nama Baddrol turut menjadi sebutan selepas menjaringkan gol overhead kick yang dianggap cukup berkualiti dan mampu dicalonkan ke anugerah Puskas. – MalaysiaGazette