Sektor pelancongan semakin pulih selepas kerajaan menarik semula sekatan pergerakan.

MELAKA – Kira-kira 500,000 pelancong asing telah masuk ke Malaysia sejak minggu lepas susulan pembukaan semula pintu sempadan negara pada 1 April.

Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata berdasarkan bilangan itu, pihaknya yakin sasaran dua juta pelancong dari luar negara dapat dicapai menjelang hujung tahun ini.

Malah katanya beliau percaya jumlah itu mampu melewati sasaran, menjangkau kehadiran tiga hingga lima juta pelancong kerana menurutnya, beliau difahamkan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong baru-baru ini mengumumkan penambahan penerbangan hampir 300 peratus.

“Bagaimanapun kita juga masih berdepan dengan cabaran untuk mendapatkan angka pelancong asing ke negara ini seperti tahun 2019 dan ia pastinya mengambil masa berdasarkan beberapa perkara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Program Jerayawara Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) di Panggung Seri, Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka yang turut dihadiri Pengarah JKKN negeri Ezlina Alias. – MalaysiaGazette