Mohd Nor Izzat Mohd Johari

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (Amal Sejagat) bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) menggesa pihak berwajib bertindak tegas ke atas penternak yang mengugut untuk tidak beroperasi hujung minggu ini.

Pengerusinya, Mohd Nor Izzat Mohd Johari berkata, tindakan tegas perlu bagi memastikan perkara itu tidak berlaku lagi pada masa depan.

Ia termasuk menyenaraihitamkan penternak terbabit yang sengaja menimbulkan suasana panik terutama ketika umat Islam masih lagi dalam suasana hari raya.

“Selain disenaraihitamkan, mereka yang didapati terbabit secara langsung dengan tindakan boikot ini perlu digantung lesen operasi dan tidak lagi dibenarkan beroperasi untuk tempoh yang lama.

“NGO Amal Sejagat merasakan sudah sampai masanya kerajaan membantu penternak tulen yang selama ini giat berusaha memajukan perniagaan tanpa mengambil kesempatan ke atas sebarang perubahan harga yang berlaku di pasaran.

“Dengan adanya perubahan dari segi bantuan, penternak akan rasa lebih dihargai dan fokus untuk membantu pasaran, selain menjana pendapatan menerusi industri berkenaan,” katanya kepada media, hari ini.

Mohd Nor Izzat berkata, setakat ini, Amal Sejagat sudah pun berhubung dengan lapan kumpulan penternak di utara yang menyatakan rasa kesal dengan apa yang berlaku.

Ujarnya, mereka komited untuk mengadakan perbincangan secara telus dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) bagi mencari solusi terbaik.

Dalam pada itu, beliau meminta campur tangan serta pertimbangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menyelesaikan isu itu secara menang-menang dan memberi manfaat kepada semua pihak. – MalaysiaGazette