Akramuddin Abdul Aziz

MELAKA – Kenaikan harga tiket ke muzium di negeri ini antara RM2 hingga RM10 bermula bulan depan tidak akan menjejaskan sasaran 500,000 pengunjung pada tahun ini.

Pengerusi Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, pihaknya mempunyai pelbagai rancangan untuk menarik lebih ramai pengunjung di 21 muzium dan 10 galeri di bawah perbadanan itu.

“Malah, kita baharu sahaja mendapat persetujuan daripada tiga buah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Melaka untuk menaja tiket secara tahunan bagi diagihkan kepada pelajar-pelajar sekolah.

“Kita juga akan menambah baik bahan pameran antaranya mewujudkan ruangan interaktif yang membolehkan pengunjung berinteraksi menjadikan suasana lebih menarik,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenaikan harga tiket masuk ke lima muzium di negeri ini akan dinaikkan antara RM2 hingga RM10 buat warganegara dan pelancong asing bermula 1 Jun ini.

Kenaikan antara 66 hingga 100 peratus itu turut melibatkan lima muzium utama iaitu Kompleks Muzium Melaka, Kompleks Muzium Samudera, Perkampungan Hang Tuah, Muzium Kesultanan Melaka dan Muzium Kapal Selam.

Mengulas lanjut Akramuddin berkata, setakat April lalu, PERZIM merekodkan 200,000 pengunjung dan optimis sasaran 500,000 pengunjung dapat dicapai menjelang Disember ini.

“Sebenarnya, kenaikan harga ini tidaklah banyak sebagai contoh, bagi Kompleks Muzium Melaka yang mengalami kenaikan RM2 hingga RM8, pengunjung boleh melawat enam muzium lain di bawahnya iaitu Muzium Sejarah, Muzium Ethnografi, Muzium Pendidikan, Muzium Sastera, Muzium TYT dan Galeri Cheng Ho.

“Kita juga akan membuat pertukaran artifak dengan muzium-muzium di negeri lain untuk pelbagaikan lagi artifak di negeri ini,” katanya. – MalaysiaGazette