UMRAH
Gambar hiasan

PANGGILAN menunaikan rukun Islam yang kelima ini amat dinantikan oleh umat Islam di seluruh dunia termasuklah di negara kita Malaysia. Tahun ini, kerajaan Arab Saudi telah memberikan kuota sebanyak lebih 14,000 orang jemaah dan pihak Lembaga Tabung Haji telah mula mengeluarkan surat tawaran kepada mereka yang layak dari segi giliran. Taklimat kesihatan bagi pemeriksa bakal haji juga telah dilaksanakan pada bulan Mac yang lepas. Saban tahun, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan pemantauan pihak Tabung Haji akan sama-sama mengadakan taklimatyang bertujuan memberi maklumat terkini kepada pemeriksa bakal haji tentang garis panduan terkini terutama sekali pasca pandemik Covid-19.

Tahun ini juga kerajaan Arab Saudi telah menetapkan bahawa jemaah haji mestilah berusia 65 tahun ke bawah, tiada penyakit kronik yang tidak terkawal dan mempunyai sijil vaksinasi Covid-19 yang lengkap. Selain daripada itu, jemaah juga perlu mengemukakan keputusan RT-PCR dalam tempoh 72 jam sebelum masa berlepas. Oleh itu, pihak TH juga turut memperketatkan syarat dan terdapat beberapa perubahan dalam garis panduan yang disediakan oleh KKM seperti di dalam pautan berikut https://bit.ly/GPEdisiKhasPandemik.

Disebabkan pengumuman kuota yang diberikan tahun ini juga sudah agak lewat, kebanyakan jemaah haji yang mengidap penyakit kronik yang tidak stabil belum sempat distabilkan, ada juga yang baru sahaja didiagnosa dengan penyakit-penyakit seperti darah tinggi (hypertension) dan kencing manis (diabetes mellitus) dengan bacaan tekanan darah yang mencanak dan HbA1c yang lebih daripada 8.0% yang menunjukkan bahawa kandungan gula dalam badan gagal dikawal dengan baik. Surat tawaran perlu dikembalikan dan dijawab dalam tempoh selewat-lewatnya tujuh hari daripada tarikh surat dikeluarkan, tidak seperti tahun-tahun sebelum ini yang mana seseorang jemaah itu masih ada peluang untuk menstabilkan penyakit yang dihadapinya dan berpeluang juga dirujuk kepada pakar sekiranya perlu.

Setiap tahun memang akan ada jemaah yang terpaksa menolak tawaran menunaikan haji ini atas faktor kesihatan. Sebenarnya kadangkala bukanlah penyakit itu sendiri yang menjadi penghalang tetapi kegagalan untuk mendapatkan rawatan dan
memenuhi janji temu susulan mengakibatkan penyakit yang sedia ada tidak stabil dan sukar untuk dikawal. Ini berlaku kepada beberapa kes yang pernah dilihat sepanjang menjadi panel pemeriksa bakal haji.

Oleh itu amat penting bagi semua rakyat Malaysia yang berhasrat untuk mengerjakan haji supaya mengambil cakna tentang kesihatan mereka dan melaksanakan langkah-langkah awal bagi menyiapkan diri untuk menempuhi cabaran mengerjakan haji di tanah suci. Ini kerana ibadah haji ini merupakan salah satu daripada ibadah jasmani (badaniyyah) yang mana kekuatan fizikal dan stamina yang tinggi diperlukan untuk setiap ibadah yang dilaksanakan, amat penting bagi seseorang bakal jemaah haji itu menyediakan dirinya bukan sahaja dari segi kewangan dan ilmu tentang ibadah tersebut malah persediaan dari segi fizikal.

Jadikan cabaran yang dihadapi pada tahun ini sebagai titik tolak permulaan kepada kehidupan yang lebih sihat, bukan sahaja untuk pergi menunaikan haji malah untuk melaksanakan ibadah yang lain. Mulakan dengan menjalani pemeriksaan di
klinik berdekatan dan pastikan kita mengamalkan gaya hidup sihat, pemakanan yang seimbang dan bagi yang masih merokok, berhentilah merokok. Jangan jadikan kesilapan kita menjaga kesihatan menjadi penghalang kepada melaksanakan rukun Islam yang kelima ini. Berdoalah kepada Allah SWT supaya memilih kita menjadi tetamuNya. Hadirkan diri ke kursus haji. Pada masa yang sama kita hendaklah menjaga diri, menjaga kesihatan, menambah ilmu dan amal serta bersungguh-sungguh membaiki diri supaya Allah berikan kita haji yang mabrur.

Pada masa yang sama menjadi hamba Allah yang lebih baik dan yang diredhaiNya. Perancangan yang rapi dan sistematik perlu dilakukan dalam pelbagai aspek sebelum kita mengerjakan haji. Firman Allah SWT dalam surah Al-Imran ayat 97 berbunyi, “Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu (bagi) orang yang berkemampuan mengadakan perjalanan ke Baitullah”.

‘Istitha’ah’ atau berkemampuan itu adalah apabila seseorang itu memiliki harta yang mencukupi untuk mengerjakan haji danumrah, termasuk tambang pengangkutan, perbelanjaan pergi dan balik, bayaran visa pasport perjalanan dan upah pemandu haji dan umrah sebagaimana yang dikehendaki pemerintah. Dan kesemua harta itu mestilah lebihan daripada jumlah hutang dan perbelanjaan ahli keluarganya selama mana ketiadaannya. Ia juga termasuk dengan kemampuan kesihatan yang membolehkan seseorang itu melakukan ibadah tanpa mendatangkan mudarat kepadanya.

Dr Jannatul Madihah Abu Bakar
Pemeriksa Bakal Haji Berdaftar
Setiausaha WARAK PAPISMA

Prof Madya Dr Aspalilah Alias
Pensyarah Pergigian dan Anatomi
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast