Najib Razak

KUALA LUMPUR – Prosiding kebankrapan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak selepas beliau gagal membayar tunggakan cukai berjumlah RM1.69 bilion ditangguh ke 4 Oktober depan.

Selain Najib, anak lelakinya, Datuk Mohd Nazifuddin turut berdepan tindakan kebankrapan dengan tunggakan sebanyak RM37.6 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Penangguhan ini dilakukan berikutan rayuan yang dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri itu dan Mohd. Nazifuddin di Mahkamah Persekutuan baru-baru ini.

Peguam mewakili Najib dan Mohd Nazifuddin, Wee Yeong Kang memberitahu, penangguhan itu dibuat Timbalan Pendaftar, Ida Rahayu Sharif selepas membenarkan permohonan tersebut ketika pengurusan kes berkenaan berlangsung secara dalam talian.

Pada 22 Julai 2020, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Najib perlu membayar tunggakan cukai tambahan LHDN bagi tempoh 2011 hingga 2017 berjumlah RM1.69 bilion selepas membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadapnya.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Najib kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu di Mahkamah Rayuan.

Mengikut Seksyen 103 (2) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ITA), seseorang yang diperintahkan membayar taksiran itu perlu menjelaskan bayaran kepada LHDN walaupun rayuan difailkan.

Pada 4 Februari lalu kerajaan melalui LHDN, memfailkan notis kebankrapan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur terhadap Najib selaku penghutang kerana gagal membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion yang ditetapkan Mahkamah Tinggi.

Pada 14 Jun tahun lepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk menggantung pelaksanaan perintah bahawa beliau perlu membayar cukai tertunggak sebanyak RM1.69 bilion kepada LHDN.

Najib dan Mohd Nazifuddin gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan pada 9 September 2021 untuk mengetepikan penghakiman terus itu.

Mahkamah Rayuan bagaimanapun membenarkan permohonan mereka untuk menangguhkan perintah penghakiman terus itu sementara menunggu pendengaran permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan.

Dalam kes sivil, pihak litigasi mesti mendapatkan kebenaran terlebih dahulu sebelum mereka boleh meneruskan rayuan mereka di Mahkamah Persekutuan. – MalaysiaGazette