Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor memperuntukan RM1.5 juta untuk diagihkan kepada 3,000 bakal jemaah haji negeri itu dalam Insentif Haji Muassasah Selangor 2022.

Setiap penerima insentif ini akan menerima wang tunai sumbangan Kerajaan Negeri sebanyak RM500 beserta kit cenderamata mengandungi beg, penyahkuman tangan, losyen, pelembap bibir, tuala muka serta tisu basah.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, urusan permohonan insentif ini akan dijalankan selama tiga bulan bermula 23 Mei 2022 sehingga 31 Ogos 2022 melalui Pusat Khidmat Ahli Dewan Negeri (ADN) dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Selangor.

”Bakal jemaah haji yang berminat hanya perlu membawa kad pengenalan serta salinan surat tawaran mengerjakan haji muassasah yang lengkap dengan maklumat penerbangan sewaktu membuat permohonan,” katanya.

Insentif Haji Muassasah Selangor ini adalah satu lagi usaha Kerajaan Negeri yang diurusetiakan oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) sebagai sebahagian Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) anjuran MBI.

”Semoga inisiatif ini sedikit sebanyak meringankan beban serta mempermudah urusan bakal tetamu-tetamu Allah yang terpilih,” ujarnya. – MalaysiaGazette