Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

KUALA KANGSAR – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan mendengar taklimat dan menerima laporan tragedi kemalangan jalan raya mengakibatkan kematian lima orang pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) pada tengah malam Rabu lepas.

Taklimat tertutup selama sejam yang diadakan di USAS itu dikendalikan oleh Naib Canselor USAS  Tan Sri Prof Dr Nordin Kardi, Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Ketua Jabatan dan Pakar Perubatan Forensik Hospital Taiping Dr N.Murali.

Turut hadir pada sesi taklimat tersebut ialah Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah USAS Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali,  Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Datuk Dr Khairil Anwar Abu Kassim, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Azmi Osman dan Pengurus Cawangan Wilayah Utara PLUS Kassim Ismail.

Terdahulu, Sultan Nazrin tiba di perkarangan pejabat bangunan pentadbiran USAS kira-kira 11 pagi dan disambut Setiausaha Kerajaan Perak Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Mohd. Zolkafly Harun selain pengurusan tertinggi universiti tersebut.

Sementara itu, Ahmad Suaidi dalam kenyataan media berkata, Sultan Nazrin turut berkenan mengurniakan sumbangan RM50,000 untuk disampaikan oleh Dr Nordin bagi pihak baginda kepada lima keluarga yang terlibat.

Menurutnya, Sultan Nazrin turut menzahirkan rasa amat dukacita mengenai kejadian yang melibatkan kehilangan nyawa lima orang pelajar secara yang sangat tragik.

“Walaupun pada hakikatnya ajal maut ditentukan oleh Ilahi, Baginda berpendirian bahawa Allah SWT juga menyeru manusia agar berusaha dan berikhtiar untuk mengelakkan diri daripada ancaman, bencana, bahaya dan malapetaka.

“Baginda berpandangan banyak langkah preventif boleh dan perlu dilakukan, dan menitahkan semua pihak yang berkaitan wajib menjadikan tragedi ini sebagai pengajaran, mengenal pasti dan menerima kelemahan yang ada untuk dilakukan penambahbaikan, terutama dari sudut penguatkuasaan undang-undang dan peraturan agar kejadian kemalangan yang tragik seperti ini dapat dielakkan daripada berulang,” katanya.

Menurutnya, Sultan Nazrin turut menzahirkan simpati dan ucapan takziah kepada ibu bapa dan ahli keluarga mangsa yang telah kehilangan anak dan ahli keluarga yang begitu dikasihi, dalam usia yang begitu muda, dan menghadapi ajal dengan cara yang sangat memilukan hati.

Baginda berdoa agar ibu bapa dan ahli keluarga diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian berat Ilahi dengan redha, dan mendoakan agar roh lima Allahyarham tersebut dilimpahi rahmat ihsan Ilahi dan ditempatkan dalam kalangan roh para solihin.

Nahas yang berlaku tengah malam Rabu lepas membabitkan lapan mangsa, dengan lima daripadanya yang menaiki kereta maut di tempat kejadian, manakala dua pemandu treler dan seorang kelindan terselamat.

Lima mangsa maut ialah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20. – MalaysiaGazette