Majlis Penyerahan Papan Nama Tapak Pengajaran Confucius Institute (CI) UMP di ASSB dan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi jalinan kerjasama akademik dan penyelidikan antara UMP dan ASSB

KUANTANUniversiti Malaysia Pahang (UMP) dan Alliance Steel (M) Sdn Bhd (ASSB) akan membangunkan Confucius Institute (CI) UMP yang terletak di Malaysia-China Kuantan Industri Park (MCKIP), Kuantan.

Duta Besar China ke Malaysia, HE Ouyang Yujing berkata, kerjasama tersebut bagi menawarkan kursus teknikal Bahasa Mandarin dalam bidang metalurgi untuk staf tempatan ASSB yang akan meningkatkan kecekapan dalam Bahasa Mandarin dan Pendidikan Vokasional.

“Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan ialah projek kerjasama antara kerajaan China dengan Malaysia dan ia merupakan Taman Perindustrian China yang pertama ditubuhkan di Malaysia.

“ASSB adalah industri China yang cemerlang atas kerjasama ekonomi di kalangan kerajaan China dan Malaysia. Confucius Institute UMP merupakan kerjasama antara UMP dengan Hebei University,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Difahamkan pusat itu dijangka melatih 5,000 orang staf tempatan dalam tempoh lima tahun akan datang dan menganjurkan 40 kelas bagi kursus teknikal setiap tahun.

Beliau yakin persahabatan antara China dan Malaysia akan ditingkatkan, seterusnya mengukuhkan strategi pembangunan serta menggalakkan kerjasama politik, ekonomi, pendidikan antara dua negara itu.

Turut berlangsung hari ini Majlis Penyerahan Papan Nama Tapak Pengajaran Confucius Institute (CI) UMP di ASSB dan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi jalinan kerjasama akademik dan penyelidikan antara UMP dan ASSB.

Pada majlis itu Naib Canselor UMP, Prof Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Teknologi ASSB, Hu Jiulin menandatangani perjanjian persefahaman tersebut. – MalaysiaGazette