GEORGETOWN – DAP akui parti itu tidak boleh terlalu yakin dan selesa dapat mempertahankan Pulau Pinang pada pilihan raya akan datang.
Lantaran itu, DAP akan terus berusaha termasuk mencari bakat-bakat baharu untuk ditonjolkan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
“Kita tidak bincang soal kemenangan majoriti. Apa yang paling penting kita dapat mengekalkan kemenangan dengan jumlah yang selesa.
“DAP akan berusaha dengan bersungguh-sungguh dan DAP Pusat juga akan memberi sokongan penuh kepada Pulau Pinang supaya mandat ini dapat dikekalkan,” kata Anthony Loke.
Setiausaha Agung DAP itu berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat keatas Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Kerajaan Pulau Pinang diambil alih oleh pentadbiran DAP selepas Pakatan Rakyat yang diterajui oleh parti DAP memenangi majoriti kerusi pada piilihan raya umum pada tahun 2008.
Lim Guan Eng, ketika itu Setiausaha Agung DAP telah mengangkat sumpah perlantikan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.
Ditanya mengenai perkembangan ‘khemah besar’, Loke berkata, ketika ini DAP hanya fokus untuk memperkukuhkan kerjasama dalam Pakatan Harapan (PH).
“Kita tidak pernah bincang cadangan untuk kerjasama di bawah ‘khemah besar’ bagi menghadapi PRU15, malah tiada sebarang perbincangan dilakukan dengan pihak luar selain PH termasuk soal strategi pembahagian kerusi,” jelas Loke.
Tambah beliau, apa yang penting bagi PH sekarang ini adalah untuk mengukuhkan kekuatan dan kedudukan pakatan pembangkang.
“Apa sahaja kekuatan yang kita ada perlu diperkukuhkan seperti di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan,”
Sebelum ini melaporkan, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pimpinan parti pembangkang perlu berjiwa besar dengan memaafkan dan melupakan perkara lalu bagi merealisasikan pendekatan ‘khemah besar’ sebagai persediaan menghadapi PRU15.
Katanya, kesepakatan barisan pembangkang cukup penting untuk bersaing dengan musuh utama mereka iaitu Barisan Nasional (BN).
“Kita perlu ada kesabaran dan semangat, sebab masih ada lagi masa untuk realisasikan ‘khemah besar’. Walaupun sebelum ini ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sarawak dan Johor, kita tidak boleh capai 100 peratus, tetapi itu tidak bermakna kita tidak laksanakan ‘khemah besar’,” kata Salahuddin. – MalaysiaGazette