Pengarah KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin menunjukkan antara barang rampasan pelbagai jenama tiruan bernilai RM1.07 juta di stor KPDNHEP, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 20 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyita 43,929 barang tiruan berjumlah RM1.07 juta di empat buah stor penyimpanan di sebuah pusat pemborong terkemuka di Jalan Kenangan di sini baru-baru ini.

Pengarah KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) Ariffin Samsudin berkata, semua stor berkenaan diserbu pada Selasa lalu selepas risikan dilakukan selama dua minggu.

Hasil pemeriksaan didapati keempat-empat premis turut menjual barangan tiruan secara atas talian kepada pelanggan seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

“Stor-stor berkenaan digunakan untuk menyimpan beg, dompet, tali pinggang dan minyak wangi berjenama,” katanya pada sidang media yang diadakan di Stor Eksibit KPDNHEP WPKL hari ini.

Pengarah KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin. Foto HAZROL ZAINAL, 20 MEI 2022.

Menurut Ariffin,  semua stor tersebut mempunyai kedai borong di kompleks beli belah di Kenanga namun tidak mempamerkan di premis kerana bimbang tindakan menjual barangan tiruan itu dihidu pihak berkuasa.

“Penjualan hanya dibuat kepada pelanggan tetap dan hanya dikenali oleh pekerja dan pemilik premis berkenaan,” tambah beliau.

Beliau berkata, dua warga tempatan yang merupakan pemilik dan pekerja stor turut ditahan.

Tambah Ariffin, kes berkenaan disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 44 kes jualan barangan tiruan sepanjang Januari hingga Mei tahun ini.

Menerusi kes-kes berkenaan sebanyak 97,169 barangan tiruan telah disita melibatkan jumlah RM2.8 juta.

“Manakala jumlah tangkapan di bawah Ops Jeriji 3.0 pada tahun 2022 adalah 13 orang melibatkan kesalahan berkaitan harta intelek,” kata Ariffin lagi. – MalaysiaGazette