Pemandangan di Yanardag atau lebih dikenali sebagai 'gunung yang terbakar[ kerana bukit-bukit di sini membakar secara kekal kerana deposit gas di bawah permukaan batu pasir.

KEKENTALAN jiwa seperti api bumi di Yanardag membaca cerita-cerita musafir para sahabat, seperti tidak terjangkaukan dek akal, bagaimana cekalnya mereka bermusafir berdakwah demi menyampaikan Islam, bukan sahaja di sekitar Tanah Arab, malah ke seluruh pelosok dunia. Sesekali, akal liar menalar apakah momentum utama yang menggerakkan para sahabat tersebut berkelana jauh beribu batu, tanpa kemudahan pengangkutan sebagaimana yang kita nikmati pada hari ini.

Tarbiah Rasulullah SAW secara langsung terhadap para sahabat baginda telah melahirkan satu generasi contoh yang mendapat pengiktirafan baginda sendiri. Pujian dan penghargaan baginda kepada mereka mengingatkan kita tentang pentingnya peranan para sahabat dalam memahami agama sebagai satu panduan hidup. Abdullah Bin Mas’ud meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda :

خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ

”Sebaik-baik manusia adalah manusia yang berada di kurun aku (para sahabat), kemudian orang yang menuruti mereka kemudian orang yang menuruti mereka…” [Riwayat Al-Bukhari (3651)]
Keistimewaan para sahabat bukan sahaja pada status mereka sebagai sahabat, tetapi juga pada amalan yang mereka lakukan.

Abu Sa’id Al-Khudri telah meriwayat bahawa Nabi SAW bersabda :
لَا تَسُبُّوا أَصْحَابِي فَلَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ ذَهَبًا مَا بَلَغَ مُدَّ أَحَدِهِمْ وَلَا نَصِيفَهُ
“Jangan kalian menghina Sahabatku. Jika ada salah seorang daripada kalian menginfakkan emas sebanyak bukit uhud, maka tidak akan sama dengan segantang atau setengah gantang yang diinfakkan oleh mereka.”
[Riwayat Al-Bukhari (3673) & Muslim (2540)]

Menyampaikan risalah yang benar

Kecekalan para sahabat Rasulullah SAW terserlah pada kekuatan mereka mempertahankan Islam dan menyampaikan risalah yang benar itu. Lihat sahaja dalam hadis-hadis berkaitan rukhsah solat ketika musafir. Bukan aspek hukum yang ingin diketengahkan pada kali ini, tetapi pada semangat yang melatari cerita-cerita dalam hadis yang diriwayatkan kepada kita. Semasa menjelaskan tentang hukum rukhsah solat, Sayyid Sabiq menukilkan bahawa Miswar bin Makhramah telah berkata:

”Kami bermukim dengan Sa’ad di salah satu desa di wilayah Sham selama empat puluh hari. Selama itu Sa’ad tetap memendekkan solat tetapi kami mencukupkan”. Nafi’ berkata: “Abdullah bin ‘Umar bermukim di Azerbaijan enam bulan dan tetap bersembahyang dua rakaat ketika tertahan oleh salji waktu memasukinya.”

Hafash bin Ubaidullah mengatakan bahawa Anas bin Malik bermukim di Syam dua tahun dan terus bersembahyang sebagai musafir. Dan menurut Anas, para sahabat Nabi SAW bermukim di Ramhurmuz selama tujuh bulan dan tetap memendekkan solat, sedangkan menurut Hassan, dia bermukim dengan ‘Abd al-Rahman bin Samurah di Kabul selama dua tahun dan ‘Abd al-Rahman terus memendekkan tapi tidak menghimpunkan solat. Kemudian, Ibrahim mengatakan pula bahawa para sahabat pernah bermukim di Rayy selama setahun atau lebih, dan di Sijistan selama dua tahun (dan mereka tetap memendekkan solat)

Islam yang syumul

Secara ringkasnya, kita dapat membayangkan kesukaran perjalanan yang dilalui oleh para sahabat, bertebaran ke seluruh dunia demi menyebarkan Islam. Bukan sahaja ujian kegetiran kesukaran jarak yang jauh, malah para sahabat juga berdepan dengan
cuaca yang baharu bagi mereka seperti salji, kesejukan dan angin yang kuat. Hasilnya, pada hari ini, Islam telah tersebar dan tumbuh dengan segar sekali. Jika kita perhatikan lokasi yang pernah dijejak oleh para sahabat, jauhnya beribu batu dari Kota Makkah dan Madinah itu sendiri.

Kegemilangan yang dikaburi

Mungkin perkara ini ingin dihayati oleh seorang anggota tentera Azerbaijan, Shahid Qurbanov telah berjalan kaki untuk menunaikan haji pada tahun 2006 yang lalu. Perjalanan yang mengambil masa selama dua bulan itu telah mendapat jolokan nama “perjalanan seumur hidup” merentasi jarak 5000 km bermula dari Kota Baku iaitu ibu negara Azerbaijan, Iran, Kuwait dan Arab Saudi.

Benih Islam yang dibawa oleh para sahabat ke bumi Azerbaijan telah tumbuh subur, sesubur tanahnya sendiri yang kaya dengan hasil bumi dan tanaman yang segar-segar. Hingga kini, 93% daripada penduduk Azerbaijan adalah beragama Islam dengan didominasi oleh kelompok Syiah.

Namun, kegemilangan Islam di Azerbaijan telah dikaburi oleh pengaruh Rusia yang pernah menjajah mereka. Agama telah berjaya dipisahkan dari kehidupan manusia secara total. Agama telah menjadi urusan yang sangat peribadi dan privasi. Dikhabarkan, selama sekitar 70 tahun di bawah kekuasaan Rusia, Muslim negara milik Laut Kaspian ini tidak lagi menjalankan ibadah secara penuh, malah membaca al-Quran pernah dianggap sebagai satu kesalahan yang boleh dipenjarakan!

Tidak akan padam

Bukti yang jelas ialah kota Kosmopolitan Baku yang masih mengekalkan kegemilangan tamadun silam sejarah itu amat kurang kelihatan masjid mahupun rumah ibadat agama lain. Sangat ironis dengan bilangan Muslim yang ramai. Apa lagi azan, hampir tidak kedengaran di bumi Azerbaijan.

‘Bandar angin’ ini adalah contoh negara sekular yang memisahkan agama dari aspek kehidupan yang lain. Pemerintah tetap memberi kebebasan beragama, namun kehidupan beragama dan pemerintah, tidak boleh saling mengganggu. Kesunyian Islam di Azerbaijan tidak akan memadam jalan-jalan dakwah yang telah dipugar oleh para sahabat. Negara yang pernah tekenal sebagai tempat rehat bagi pedagang laluan sutera itu masih menyimpan seribu satu pengajaran tentang bagaimana Islam boleh embenih dan berkembang dengan subur.

Sebuah destinasi yang mesra Muslim kerana makanan halal di mana-mana sahaja, segar dan sedap pastinya. Seperti api yang terbit dari bumi di Yanardag sejak 4,000 tahun yang lalu, begitulah juga bagi Islam yang sentiasa akan berkembang di mana sahaja ia tertabur.

Berbalik kepada situasi kita, adakah kita mempunyai nilai-nilai kekentalan jiwa sebagaimana yang ditunjukkan oleh para sahabat baginda SAW. Belum terlambat untuk bermula, ayuh kenalilah para sahabat kerana mereka telah menunjukkan jalan yang wajar.

Dr Hamidah Mat
Pensyarah Kanan, Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial (FESS OUM)
Penasihat Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast