Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof

SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak akan berkompromi terhadap 57 guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (Kafa) di Selangor yang masih enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pihaknya terpaksa bertindak tegasĀ  bukan sahaja menggantung bahkan tidak akan melanjutkan kontrak perkhidmatan mereka melainkan ada alasan yang kukuh.

“Kita kena tegas, kalau tidak ia akan jadi ikutan kepada yang lain, mereka akan kata, orang lain tak buat (vaksin) tak ada apa (tindakan).

“Kita kena tegas sebab dia cikgu, berinteraksi dengan murid-murid,” katanya kepada pemberita di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini, hari ini.

Sebelum ini, seramai 57 guru Kafa di Selangor yang enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19, dikenakan tindakan gantung tugas selama dua bulan, bermula Mac lalu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, semua guru berkenaan diberi masa untuk mendapatkan vaksin Covid-19 dalam tempoh gantung tugas itu.

Jika guru terbabit masih berdegil dan tidak mahu mengambil suntikan vaksin berkenaan, katanya, tindakan tamat perkhidmatan akan dilaksanakan.

Tindakan itu selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengingatkan perkara sama kepada pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, pihaknya telah memberi ruang supaya guru-guru Kafa ini mendapatkan vaksinasi dan berkali-kali kita buat, malah kita beri ruang seluas-luasnya.

“Kalau perkara ini masih tidak lagi diikuti, Kerajaan Negeri Selangor melalui Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kita ambil tindakan tegas.

“Mereka ini perlu ada vaksin sebab berinteraksi dengan pelajar, ini demi kebaikan kita bersama dan ada faedah-faedah lain.

“Kita mengikut peraturan dan prosedur undang-undang (tamatkan kontrak), kita beri ingatan, nasihat, jika tak ikut juga, tiada pilihan lain, apa pun kita buat mengikut undang-undang sedia ada,” katanya lagi. – MalaysiaGazette