MELAKA – “Saya pun pelik sampaikan orang Negeri Sembilan datang sini cari ayam tak ada, macam mana tu? Bekalan ayam saya dapat hari ini pun terjejas 50 peratus daripada 400 ekor kepada hanya 200 ekor.
“Bekalan ayam memang kurang, sehinggakan saya nak jual pun tak dapat sebab pelanggan tetap dah tempah lebih awal,” kata peniaga ayam di Pasar Awam di Bachang, Shakir Samad, 35.
Menurutnya, masalah bekalan ayam standard di negeri ini semakin ketara terjejas sejak Khamis lalu apabila pemborong hanya mampu memenuhi 50 peratus daripada pemintaan peniaga pasar berkenaan.
“Saya pun pelik, bekalan ayam kejap ada, kejap tak ada dan makin teruk sejak Khamis lalu. Bila ditanya kepada pemborong, alasannya bekalan kurang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Seorang lagi peniaga yang enggan dikenali berkata, bekalan diperolehinya juga terjejas lebih separuh apabila hanya mendapat 280 ekor daripada 600 yang diminta.
“Bila kita bising dengan pembekal kenapa tak cukup, mereka akan mulakan ‘permainan’ catu bekalan pada hari esoknya dengan cara lebihkan bekalan kepada pasar raya kerana mereka tidak pernah persoalkan bekalan.
“Sebab itu, kami peniaga kini malas hendak bising-bising dan terima sahaja keadaan ini sehingga kerajaan mencari jalan untuk mengatasi isu ini,” katanya.
Sementara itu, pengguna Norshahira Ismail, 28, berkata dia terpaksa pergi sehingga tiga buah gerai ayam kerana kebanyakan gerai sudah kehabisan bekalan selain memberi alasan ayam sudah ditempah pelanggan.
“Pelik juga kenapa susah sampaikan saya terpaksa cari di tiga gerai dengan alasan peniaga kekurangan bekalan,” katanya yang membeli 10 ekor ayam bagi mengadakan rumah terbuka Aidilfitri esok.
Nasib sama dialami juruteknik kilang, Ramli Useman, 45, yang terpaksa ke peniaga lain untuk membeli dua ekor ayam susulan peniaga kebiasaan dibeli kehabisan bekalan.
“Saya pun pelik sedangkan baru jam 8 pagi tadi bekalan sudah habis, nasib baik ada satu dua gerai masih ada stok itu pun tidak banyak dan terpaksa menunggu lama,” katanya.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, setakat jam 9 pagi tadi, hanya terdapat sebuah gerai ayam masih menjual ayam kepada pelanggan yang datang secara terus.
Selebihnya peniaga yang ditemui berkata, bekalan sudah habis kecuali yang masih terdapat di atas pangkin jualan sudah ditempah peniaga kedai makan dan individu yang mahu mengadakan rumah terbuka Aidilfitri.
Sebelum ini, media melaporkan sekumpulan kartel industri ternakan ayam didakwa merancang menutup ladang ternakan hari ini dan esok sebagai protes kepada kerajaan yang dikatakan lambat melakukan bayaran subsidi harga ayam sebanyak 60 sen.
Krisis bekalan ayam terus memuncak apabila sebuah ladang ternakan di Merlimau, Jasin mengeluarkan satu memo ykepada pembekal memaklumkan bekalan ayam akan dihentikan har ini dan esok.
Memo berkenaan menjelaskan alasan penutupan adalah kerana ayam hidup di ladang mengalami kelewatan pertumbuhan dengan berat antara 1.1 hingga 1.2 kilogram tidak mencapai kadar yang sepatutnya 1.7 atau 1.8 kg untuk dijual di pasaran. – MalaysiaGazette