Home Utama Peniaga tutup kedai, tiada ayam di P.Pinang esok

Peniaga tutup kedai, tiada ayam di P.Pinang esok

SEBERANG PERAI – Pembekal dan peniaga ayam di negeri ini meluahkan rasa bimbang berikutan bekalan ayam di pasaran berkurangan hingga menyebabkan mereka terpaksa tutup kedai.

Tinjauan MalaysiaGazette di beberapa pasar sekitar Pulau Pinang mendapati peniaga ayam segar menutup operasi perniagaan lebih awal ekoran meja jualan kosong tanpa ayam mentah.

Operasi peniagaan ayam mentah di pasar awam ditutup awal susulan tiada bekalan ayam.

Selain itu, rata-rata peniaga ayam mendakwa mereka berdepan situasi tiada bekalan ayam untuk esok susulan pembekal serta pengilang memberitahu ayam mentah tidak cukup untuk dibekalkan kepada peniaga.

Difahamkan pembekal utama ayam bagi utara tanah air menutup operasi susulan mengalami masalah teknikal berkaitan elektrik turut menjadi punca bekalan ayam untuk esok terputus sepenuhnya.

Nur Hafidzin Jamil.

Pembekal dan peniaga ayam, Nur Hafidzin Jamil Noorzihad berkata, sepanjang 16 tahun menceburi bidang tersebut ini merupakan kali pertama mereka terpaksa menutup operasi memandangkan tiada ayam mentah yang boleh dibekalkan kepada peniaga.

Jelasnya, mereka tiada pilihan selain menutup operasi memandangkan isu kekurangan bekalan ayam sudah berlarutan sejak beberapa bulan lalu dan kemuncaknya dilihat ketika ini.

“Dulu saya dapat bekalan 1,200 ekor ayam sehari untuk dihantar kepada peniaga ayam lain serta pelanggan namun kini saya hanya dibekalkan 600 ekor ayam itupun ikut nasib.

“Setiap hari kami mulakan operasi perniagaan jam 4 pagi dan bayangkan tiada ayam diletakkan atas meja untuk jualan kepada pelanggan yang datang ke pasar disebabkan bekalan ayam mentah tidak cukup,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Pasar Awam Bukit Mertajam di sini, hari ini.

Mohd Ridzuwan.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Mohd Ridzuwan Mohd Irwan berkata, mereka sebagai peniaga terpaksa mengutamakan pemilik kedai makan, kantin dan lain-lain yang merupakan pelanggan tetap.

“Kami bukan tak mau jual dekat orang awam yang datang ke pasar tetapi keadaan memaksa kami untuk berbuat sedemikian.

“Kami sendiri dapat harga ayam tinggi macam mana nak jual kepada pelanggan dengan harga siling yang ditetapkan kerajaan. Daripada nak timbul isu peniaga jual mahal, pihak penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) datang siasat lebih baik kami tak jual.

“Apa yang boleh saya gambarkan keadaan sekarang ini ibarat duit sudah tidak laku kerana pelanggan ada duit tapi barang tak ada untuk dijual,” jelasnya yang sudah berkecimpung dalam peniagaan ayam lebih 20 tahun.

Abdul Rahim.

Mengulas isu sama, peniaga ayam di Pasar Awam Pulau Tikus, Abdul Rahim Abdul Rahman berkata, dia terpaksa menutup operasi selama dua hari bermula esok memandangkan tiada bekalan ayam mentah.

“Sekiranya ada pun ayam daripada penternak lain, kemungkinan bekalan hanya boleh didapati dalam kuantiti yang sedikit sahaja jadi saya ambil keputusan tutup operasi.

Peniaga hanya terima 30 peratus bekalan ayam daripada jumlah asal tempahan.

“Kalau operasi saya kena bayar wang pekerja pada kadar sama sedangkan keuntungan kian mengecil.

“Kita harap isu kurang bekalan ayam ini diselesaikan segera kerana ia bukan saja menyusahkan pengguna malah peniaga turut kena tempias,” jelasnya. – MalaysiaGazette