Tunku Abdul Rahman merangkul kemenangan pertama dalam perlumbaan pembuka tirai ‘GT World Challenge Asia’ bersama rakan sepasukannya, Nick Foster bagi pasukan Triple Eight JMR di Litar Antarabangsa Sepang hari ini.

JOHOR BAHRU –  Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim merangkul kemenangan pertama dalam perlumbaan pembuka tirai ‘GT World Challenge Asia’ bersama rakan sepasukannya, Nick Foster bagi pasukan Triple Eight JMR di Litar Antarabangsa Sepang hari ini.

Bermula dari petak kelima pada grid perlumbaan berdurasi 60 minit itu, Tunku Abdul Rahman berjaya meningkatkan kedudukan sebelum pertukaran pemandu wajib di pertengahan perlumbaan kepada Foster.

Foster kemudian merampas tempat pertama daripada pemandu Audi Sport Asia Team X Works, Sandy Stuvik dan mendahului sehingga tamat perlumbaan.

Namun demikian, nasib tidak menyebelahi  Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim yang membuat penampilan pertamanya dalam sukan permotoran dari petak ketiga grid dan bersaing di tempat kedua untuk beberapa pusingan, sebelum masalah teknikal memaksanya memasuki pit untuk membaiki kereta.

Tunku Abu Bakar dan rakan sepasukannya Jazeman Jaafar menamatkan perlumbaan di tempat keenam.

Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah turut berkenan berangkat menyaksikan perlumbaan dan memberi sokongan kepada anakanda Baginda.

Turut berangkat, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Perlumbaan kedua akan berlangsung esok pada pukul 12 tengah hari.

Orang ramai boleh memasuki grandstand Litar Antarabangsa Sepang secara percuma ataupun membayar tiket bernilai RM80 untuk akses ke ruangan paddock.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast