Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu menjalani proses transformasi dan peralihan paradigma, daripada Akta DBP 1959 yang hanya memperuntukkan kuasa Lembaga Pengelola dalam pelaksanaan prasarana badan itu, kepada peranan yang
sewajarnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, peranan dan tanggungjawab DBP sebagai badan perancangan bahasa, sastera dan penerbitan negara perlu dirincikan lebih jelas.

Katanya, ia bagi membolehkan peranan badan itu ebih berkesan untuk mendukung dan melaksanakan peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan dan undang-undang lain yang berkaitan dengan bahasa kebangsaan.

“Bahasa Melayu memiliki keunikan dan kelebihan tersendiri khususnya dalam kalangan negara Asean dan ia diyakini boleh dijadikan salah satu bahasa rasmi Asean.

“Sehubungan itu, Bahasa Melayu perlu dimartabatkan dalam negara, termasuk meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 bagi memberi kuasa kepada DBP untuk menjalankan penguatkuasaan terhadap kesalahan penggunaan bahasa berkenaan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu, di sini, hari ini.

Sementara itu menurut Perdana Menteri, Bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan sejak negara merdeka pada 1957 seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, sebagai Perkara 152 (1).

Oleh itu, tambah beliau, langkah memartabatkan Bahasa Melayu adalah juga usaha menjunjung tinggi Perlembagaan Negara.

“Banyak negara yang mencapai status negara maju dengan mendaulatkan bahasa sendiri. Kita sepatutnya mempunyai jati diri dan membuktikan bahawa mendaulatkan Bahasa Melayu tidak mengekang kemajuan negara.

“Memartabat dan mengantarabangsakan Bahasa Melayu bukan kerja mudah kerana terlalu banyak cabaran yang dihadapi oleh pejuang bahasa,” ujarnya.

Ismail Sabri berkata, seluruh Keluarga Malaysia terutamanya penjawat awam seharusnya memberikan komitmen untuk melaksanakan usaha memartabatkan bahasa berkenaan.

Katanya, usaha mengantarabangsakan Bahasa Melayu di persada dunia sudah menjadi dasar kerajaan dan ini adalah antara satu bidang keutamaan kerangka Dasar Luar Negeri
Malaysia yang dilancarkan pada 7 Disember 2021, iaitu diplomasi kebudayaan.

Tambah beliau, berikutan itu semua sektor perlu menggunakan Bahasa Melayu dengan seluas-luasnya kerana ia merupakan bahasa urusan rasmi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Awam.

Jelasnya, perluasan penggunaannya hendaklah dilaksanakan di semua jabatan dan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta. – MalaysiaGazette