Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mengkaji untuk memansuhkan keperluan beberapa permit import (AP) lain dan bukan hanya fokus kepada AP terhadap bahan makanan sahaja, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, ini kerana apabila banyak AP lain dihapuskan, lebih ramai pihak boleh terlibat dalam pasaran dan ini menyebabkan kenaikan harga barang dapat dikurangkan.

“Kerajaan lihat mungkin AP lain akan kaji sama ada hapus kerana ada banyak lagi AP, bukan makanan sahaja.

“Bila AP dihapuskan ia dapat kurang tekanan kita kepada kurangnya penawaran dan mungkin banyak pihak yang terlibat dan harga pun juga akan kurang.

“Jadi kita tunggu kesannya kerana dua kementerian (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan) akan bentang apakah perancangan jangka pendek dan jangka panjang kerana kalau perang berlaurutan, ia kesan jangka panjang dan kita tengok secara terperinci,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap Majlis Perasmian Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 22 MEI 2022.

Rabu lalu, kerajaan bersetuju memansuhkan keperluan AP) terhadap bahan makanan berkuat kuasa serta-merta.

Perdana Menteri berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Kabinet yang dipengerusikannya bagi memastikan bekalan makanan negara mencukupi.

Dengan pemansuhan keperluan berkenaan, katanya, sesiapa sahaja boleh mengimport makanan ke negara ini sebagai antara usaha menangani isu keselamatan makanan. – MalaysiaGazette