Gambar Hiasan. Foto MOHD ADZLAN, 11 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memantau perkhidmatan e-hailing dari semasa ke semasa dan mengumpul serta menganalisis maklumat sebelum sebarang perubahan dibuat, termasuk cadangan keperluan kawal selia kadar tambang.

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menerusi kenyataan kepada Bernama memaklumkan faktor seperti persekitaran pemandu, penumpang, penyedia perkhidmatan dan lain-lain persekitaran perlu diambil kira bagi memastikan penawaran dan permintaan seimbang.

Menurut agensi itu, konsep perkhidmatan e-hailing melibatkan persetujuan bersama antara pengguna dan penyedia perkhidmatan bagi tempahan perjalanan menerusi aplikasi yang memaparkan jumlah tambang dan pengguna mempunyai pilihan sama ada untuk meneruskan tempahan ataupun tidak.

“Sehingga kini terdapat lebih 10 penyedia perkhidmatan e-hailing utama yang menawarkan perkhidmatan tersebut,” menurut kenyataan agensi itu susulan rungutan pengguna mengenai tambang yang disifatkan semakin mahal selain perkhidmatan sukar didapati pada waktu puncak.

Tambang perkhidmatan itu dilaporkan meningkat hingga 400 peratus pada waktu puncak sehingga mencetuskan rasa tidak puas hati pengguna serta beberapa pihak lain kerana disifatkan tidak masuk akal sekali gus menggesa campur tangan kerajaan antara lain berkaitan kawal selia harga.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Nur Azam Anuarul Perai berkata, cadangan mengawal selia harga misalnya menetapkan harga siling dikhuatiri akan menyebabkan kekurangan pemandu kerana meninggalkan industri itu susulan pulangan tidak memadai.

“Kenaikan harga kebanyakannya berlaku ketika waktu puncak iaitu permintaan lazimnya lebih tinggi berbanding waktu lain dan keadaan akan menjadi lebih teruk sekiranya tiada pemandu bersetuju untuk menjawab permintaan penumpang,” katanya.

Mengulas mengenai kemungkinan kenaikan tambang dan kemerosotan kualiti perkhidmatan disebabkan dominasi pasaran oleh syarikat tertentu, Nur Azam berpandangan kenaikan harga tidak semestinya berpunca daripada ‘amalan monopoli’ sebaliknya ia juga dipengaruhi banyak faktor  lain.

Beliau berpendapat permintaan tinggi berbanding penawaran sedia ada menjadi aspek peningkatan tambang dengan ia mewujudkan situasi pasaran penjual iaitu keadaan harga ditetapkan oleh penjual atau penyedia perkhidmatan.

“Fenomena ini tidak dapat dielak di dalam pasaran bebas iaitu harga dipengaruhi oleh permintaan,” katanya.

Nur Azam juga tidak melihat wujud unsur monopoli dalam pasaran industri tersebut memandangkan tiada sekatan untuk mana-mana pihak menubuhkan syarikat e-hailing dan ketiadaan kawalan harga juga boleh menggalakkan persaingan kerana syarikat terpaksa menawarkan harga berpatutan.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman pula berharap lebih banyak persaingan wujud dalam kalangan syarikat e-hailing bagi memastikan pengguna mendapat perkhidmatan yang baik dengan harga berpatutan dan kompetitif.

“Perkhidmatan e-hailing sekarang sudah mula disamakan dengan kualiti perkhidmatan teksi dahulu (sebelum wujud e-hailing) iaitu harga terlampau tinggi dan tidak munasabah terutama pada waktu puncak,” katanya yang juga mencadangkan pihak berkuasa menyiasat sekiranya terdapat unsur monopoli seperti didakwa segelintir pihak. – Bernama