KULAI – Seorang pembantu kedai makan dijatuhkan hukuman denda RM2,500 selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan khianat membuang patung hiasan milik individu lain di Taman Scientex Senai dekat sini pada 15 Mei lalu.
Gabriele Jungkak Anak Steward turut dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Majistret, Sharifah Maleeha Syed Hussin menjatuhkan hukuman itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di Mahkamah Majistret Kulai pagi tadi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh berusia 23 tahun itu telah mengambil patung hiasan bernilai RM25 yang bersambung dengan air pancutan sehingga tercabut dan rosak sebelum membuangnya ke dalam tong sampah.
Atas perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun dengan denda atau kedua-duanya.
Dalam rayuannya, Gabriele Jungkak memberitahu dia berbuat demikian kerana mendakwa patung itu telah menganggunya ketika melalui kawasan berkenaan.
Tertuduh turut mengaku pernah membuang dan membakar patung-patung hiasan lain di lokasi dan pada waktu berlainan.
Sebelum hukuman dijatuhkan, mahkamah turut menasihati tertuduh untuk belajar hidup bermasyarakat dan menghormati barangan milik individu lain.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Edelynn Wong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada 19 Mei lalu, Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow memberitahu, pihaknya sedang mencari suspek yang membuang patung sembahyang agama Hindu ke dalam tong sampah dalam satu kejadian di Taman Scientex Senai pada 15 Mei lalu.
Menurut beliau, kejadian itu tular dalam satu rakaman video berdurasi 42 saat dimuat naik pengguna akaun Facebook Krishnamoorthy Vichu sehingga mendapat perhatian umum.
“Polis telah menerima satu laporan daripada seorang lelaki berkenaan rakaman kejadian itu pada pukul 4.30 petang pada 15 Mei lalu.
“Kejadian itu berlaku pada pukul 9 pagi dihadapan rumah pengadu yang beralamat di Taman Scientex Senai,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Beng Yeow, pengadu mengesahkan patung sembahyang Dewa Ganesh itu diletakkan di luar halaman rumah untuk tujuan hiasan dan bukannya untuk tujuan sembahyang.- MalaysiaGazette