BANGI – Pendekatan dakwah pada hari ini perlu seiring dengan zaman agar ringkas, padat, berfakta dan interaktif, kata Datuk Idris Ahmad.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, ini kerana adakalanya pendekatan lima tahun lepas sudah tidak relevan dengan konteks dakwah hari ini.
“Kita mesti pantas mengadaptasi dengan suasana yang ada. Ini termasuklah dalam kerja-kerja dakwah.
“Uslub dakwah mesti sentiasa segar, interaktif dan relevan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Liqa’ Mahabbah Sekretariat Dakwah Korporat Jakim dan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Bersama Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat-Syarikat Korporat Malaysia Dan Wakil Tetap Sdk Jakim Tahun 2022, di sini, hari ini.
Idris turut memberi peringatan, dalam pengurusan yang semakin kompleks hari ini, agensi-agensi Islam perlu memaksimumkan sumber manusia yang ada, selain perlu kreatif untuk mendapatkan keberhasilan yang tinggi.
Jelas beliau, ia tentunya menuntut satu pemikiran luar kotak serta memecahkan budaya kerja secara ‘silo’.
Tambahnya, kerja-kerja dakwah tidak boleh lagi dilaksanakan oleh satu pihak sahaja secara sendirian dan seberapa banyak pihak perlu dilibatkan sebagai rakan strategik dalam kerja-kerja dakwah untuk memastikan hasil yang lebih baik.
“Apabila kita bergabung, ia menambahkan kekuatan kita dan ia perlu kepada penyelarasan dan disusun secara terancang atau dalam bahasa pengurusan kita sebut “well-organized” atau “well-planned”.
“Saya kira Sekretariat Dakwah Korporat JAKIM hari ini adalah model yang baik dalam kerangka dakwah. Kita mempunyai pelan pelaksanaan program yang kita gerakkan secara bersama antaranya pengukuhan pengisian ilmu di kalangan warga sektor korporat dan program Musa’adah CSR untuk membantu para asnaf yang ditentukan dan ia adalah usaha yang sangat baik.
“Hari ini kita perlu bekerja dengan lebih kuat untuk membina semula kerohanian serta kekuatan dalaman masyarakat. Di samping kita memberikan bantuan-bantuan berbentuk material, sokongan daripada aspek ilmu dan spiritual mesti juga bergerak sama.
“Hati dan jiwa tidak boleh kontang dengan ilmu dan amalan kerohanian. Itu adalah kekuatan seseorang insan. Jadi di sinilah peranan Sekretariat Dakwah Korporat JAKIM bersama seluruh anggotanya,” katanya. – MalaysiaGazette