Mustafa menunjukkan saiz roti canai 50 sen (kiri) dan roti telur RM1 yang dijual di warungnya di Kampung Bukit Pulau, Bukit Katil, Melaka sejak 11 tahun lalu yang akan dikekalkan biarpun sukar mendapatkan tepung gandum bersubsidi sejak Januari lalu sehingga terpaksa membeli tepung pada harga lebih mahal.

MELAKA – Bukan sahaja tidak menaikkan harga kerana kos tepung gandum yang meningkat bahkan seorang peniaga roti canai di sini mampu mengekalkan harga menunya 50 sen sekeping sejak 11 tahun lalu.

Malah Mustafa Abd Latif, 58, bertekad untuk mengekalkan harga itu sehingga dia ‘menutup mata’ kerana memahami bukan semua golongan mampu menikmati sarapan kegemaran rakyat Malaysia itu pada harga yang tinggi.

Menurutnya, walaupun sejak Januari lalu hanya memperoleh keuntungan sekitar RM30 hingga RM60 sehari berbanding lebih sekali ganda jika menggunakan tepung gandum bersubsidi, dia lebih gembira melihat roti canainya mampu dinikmati semua golongan.

“Sejak mula berniaga pada 2001 memang pak cik sudah bertekad untuk kekalkan harga 50 sen untuk sekeping roti canai kosong dan RM1 roti telur sampailah pakcik ‘pejam mata’.

“Pak cik pernah hidup susah, pernah lihat ada keluarga besar yang terpaksa berkira-kira untuk gembirakan lapan anak walaupun hanya dapat makan roti canai kosong.

“Sebab itu pak cik tersentuh dan gembira bila melihat dengan bermodalkan hanya RM5, seorang bapa boleh gembirakan seluruh anak beranak menikmati 10 keping roti canai dan itulah nikmat berniaga bagi pak cik,” katanya ketika ditemui di warungnya di Kampung Bukit Pulau, Bukit Katil hari ini.

Mustafa mampu menjual 220 keping roti canai 50 sen sehari di warungnya di Kampung Bukit Pulau, Bukit Katil, Melaka .

Bapa kepada empat anak dan empat cucu itu berkata, setiap hari dia dan isteri, Norlela Salleh, 51, serta anaknya mampu menjual sekitar 10 kilogram tepung sehari yang boleh menghasilkan 220 keping roti canai.

Selain roti canai kosong 50 sen, menu lain yang kekal sejak 11 tahun lalu di warung yang disewanya pada kadar RM480 sebulan adalah roti telur dan roti bom RM1, roti sardin RM3 dan roti bawang RM1.30 sekeping.

Warung roti canai 50 sen disewa pada harga RM480 mampu memuatkan sekitar 60 pelanggan pada satu-satu masa.

Menurutnya, setelah ditolak kos bahan mentah tidak termasuk tenaga, dia memperoleh keuntungan sekitar RM50 untuk lima jam warungnya beroperasi bermula pukul 6.30 hingga 11.30 pagi.

“Tapi sekarang ini, dengan kesukaran mendapatkan tepung gandum bersubsidi RM1.35 sekilogram, pak cik terpaksa beli tepung gandum pada harga tanpa subsidi iaitu RM3 sekilogram.

“Kalau nak ikutkan, memang untung semakin tipis, sampaikan anak-anak pun tegur supaya naikkan sikit harga 10 sen ke 20 sen tapi pak cik tak nak kerana kerana masih ada untung sikit dan boleh ditampung dengan jualan makanan lain,” katanya.

Menu lain yang turut dijual di warung roti canai 50 sen itu adalah semua jenis masakan goreng, mi kari dan bakso berharga antara RM5.50 hingga RM7 sepinggan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast