TEHRAN – Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi dikhuatiri terperangkap selepas sebahagian bangunan komersial 10 tingkat di bandar Abadan, dekat barat daya Iran runtuh.
Bulan Sabit Merah berkata, 32 orang telah diselamatkan dari bawah runtuhan setakat ini, dengan 27 dibawa ke hospital.
Manakala 80 orang dipercayai masih terperangkap.
Rakaman yang disiarkan di media-media sosial menunjukkan kerangka lantai dan keluli runtuh.
Agensi berita Irna melaporkan tingkat bawah bangunan yang terletak di kawasan paling sibuk itu telah dibuka beberapa hari lalu manakala kerja-kerja pembinaan di tingkat atas diteruskan.
Pasukan penyelamat percaya, mereka yang terperangkap sedang beli-belah di tingkat bawah.
Anjing penyelamat, helikopter, kenderaan dan kakitangan telah digerakkan dari beberapa wilayah untuk membantu operasi menyelamat yang sedang dijalankan.
Bagaimanapun, cuaca yang panas dengan suhu kira-kira 45 darjah celsius menyukarkan operasi menyelamat.
Punca kejadian masih disiasat tetapi pemilik bangunan sudah ditahan. – Agensi